WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump menggantung sementara permohonan visa imigran di seluruh dunia bagi memberi laluan kepada latihan pegawai konsular, ketika Amerika Syarikat (AS) memperketat saringan terhadap pemohon yang dianggap berkemungkinan bergantung kepada bantuan kerajaan, lapor Financial Times semalam.
Pemohon yang sudah mempunyai temu duga di kedutaan dan konsulat AS menerima e-mel memaklumkan temu janji mereka ditangguhkan dan akan dijadualkan semula pada tarikh serta waktu baharu.
Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, langkah itu bertujuan memastikan pemohon visa tidak berkemungkinan menjadi tanggungan kerajaan atau bergantung kepada manfaat awam yang dikhaskan untuk rakyat AS yang layak dan memerlukan.
Jabatan berkenaan melancarkan inisiatif latihan global bulan ini bagi memastikan semua pegawai konsular mampu menilai setiap pemohon visa secara menyeluruh dan konsisten, katanya.
Langkah itu dibuat ketika Trump berulang kali berusaha memperketat dasar imigresen AS, termasuk mengenakan sekatan baharu terhadap visa dan kad hijau serta menghentikan hampir keseluruhan program penempatan semula pelarian.
Peguam di firma undang-undang imigresen Fragomen di Washington, Brian Simmons, berkata ramai pemohon yang terjejas sudah membelanjakan ribuan dolar dan mengubah rutin kehidupan mereka untuk menghadiri temu duga yang ditetapkan, sebelum temu janji mereka dibatalkan pada saat akhir.
Jabatan Negara AS tidak menyatakan bila temu duga akan disambung semula, sebaliknya berkata: “Bagi memberi laluan kepada latihan mendalam ini, temu janji bagi perkhidmatan visa akan diselaraskan.”
Langkah itu susulan keputusan hakim persekutuan minggu lalu yang membatalkan tindakan Trump menggantung permohonan imigresen dari 75 negara, kebanyakannya negara miskin, yang rakyatnya dipercayai pentadbiran Trump mungkin memerlukan bantuan kerajaan.- ANADOLU











