WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berjanji untuk menyediakan bantuan kecemasan sebanyak AS$500,000 (RM2 juta) bagi menyokong usaha menyelamat susulan banjir kilat dahsyat yang melanda daerah Rasuwa, Nepal.
Jabatan Negara AS dalam kenyataan pada Rabu berkata, bantuan itu akan digunakan bagi menyokong usaha menyelamat dan tindak balas bencana di kawasan terjejas.
Washington turut menghantar penasihat tindak balas bencana ke wilayah berkenaan bagi membantu usaha menangani bencana itu.
“Amerika Syarikat menyampaikan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga dan insan tersayang mereka yang kehilangan nyawa dalam kejadian banjir kilat dahsyat di daerah Rasuwa, Nepal,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan di X, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, turut menyatakan solidariti Washington terhadap rakyat Nepal susulan bencana berkenaan.- AFP










