Ammarul tumbangkan bekas bintang UFC dalam 50 saat

Ammarul tumbangkan bekas bintang UFC dalam 50 saat

KETUA Pegawai Eksekutif BS Nutrition, Raja Lokman Raja Ahmad (kiri) bersama Presiden dan CEO BYON Combat, Yoshua Marcellos Muliardo atau lebih dikenali sebagai Celloszxz, sempena penganjuran BYON Combat Showbiz di Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petarung negara, Ammarul Shafiq mencipta kejayaan membanggakan apabila menewaskan bekas petarung Ultimate Fighting Championship (UFC) Indonesia, Jeka Saragih dalam aksi utama BYON Combat Showbiz 8 di Tennis Indoor Senayan, malam tadi.

Kemenangan itu hadir dengan penuh bergaya apabila Ammarul hanya memerlukan kurang daripada satu minit untuk menamatkan pertarungan dan merangkul gelaran BYON Kickstriking Asia.

Ammarul mempamerkan aksi bertenaga sebaik loceng permulaan dibunyikan sebelum melancarkan serangan lutut tepat ke bahagian ulu hati lawannya, menyebabkan Jeka gagal meneruskan pertarungan selepas hanya kira-kira 50 saat pada pusingan pertama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertarungan berkenaan menjadi tumpuan utama peminat sukan tempur serantau kerana menemukan juara IFMA World Grand Slam, Ammarul dengan Jeka yang pernah beraksi di pentas UFC dan juga bekas juara One Pride MMA Indonesia.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja menghadiahkan gelaran BYON Kickstriking Asia kepada Ammarul, malah mengukuhkan reputasinya sebagai antara petarung Malaysia yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.

Ammarul yang kini berada di bawah naungan BS Nutrition turut menerima sokongan daripada syarikat berkenaan dalam aspek nutrisi dan kecergasan sepanjang tempoh persiapannya menghadapi pertarungan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif BS Nutrition, Raja Lokman Raja Ahmad menyifatkan kejayaan Ammarul sebagai satu pencapaian besar yang wajar dibanggakan oleh seluruh komuniti sukan tempur negara.

“Sebagai antara individu yang mengikuti perjalanan Ammarul, sudah tentu kami sangat bangga melihat kejayaan beliau malam tadi. Disiplin, latihan dan komitmen yang diberikan akhirnya diterjemahkan dengan satu kemenangan yang cukup bermakna.

“BS Nutrition hanya menjadi sebahagian kecil daripada perjalanan itu melalui sokongan dari aspek nutrisi dan kecergasan. Selebihnya adalah hasil kerja keras Ammarul sendiri bersama pasukan dan jurulatihnya,” katanya.

Menurut Raja Lokman, Ammarul turut menggunakan produk protein keluaran BS Nutrition sebagai sebahagian daripada rutin pemakanan dan proses pemulihan bagi memastikan tahap kecergasan berada pada prestasi terbaik sepanjang kem latihan.

BYON Combat Showbiz 8 yang berlangsung di Jakarta menghimpunkan 13 pertarungan melibatkan atlet dari Indonesia dan beberapa negara lain, sekali gus menjadi antara acara sukan tempur terbesar di rantau ini.

Kejayaan Ammarul menewaskan Jeka di hadapan penyokong lawan sekali lagi membuktikan atlet Malaysia memiliki kemampuan untuk bersaing dan mencipta kejayaan di pentas sukan tempur serantau serta antarabangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini