BATU PAHAT: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Ainie Haziqah Shafii berjanji akan menawarkan khidmat guaman percuma kepada warga kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Ainie Haziqah berkata, inisiatif tersebut bertujuan membantu penduduk setempat mendapatkan akses bantuan guaman lebih mudah, khususnya golongan berpendapatan rendah di kawasan Simpang Jeram.
Katanya, komitmennya untuk memperjuangkan hak wanita berdasarkan pengalaman beliau sebagai peguam sivil dan syariah selama 13 tahun dalam bidang tersebut.
“Tawarkan ini dibuat berdasarkan pengalaman lepas yang menyaksikan banyak kes keluarga, harta pusaka dan tanah yang sering menjadi isu utama masyarakat setempat di kawasan berkenaan.
“Fokus memperjuangkan hak wanita kerana melihat keperluan menangani isu sosial dan cabaran patriarki dalam masyarakat moden secara berterusan,” katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau berkata, inisiatif khidmat guaman percuma itu juga dilihat mampu mengurangkan beban kewangan golongan B40 serta meningkatkan kesedaran undang undang komuniti setempat.
Katanya, perhatian terhadap isu kos sara hidup termasuk pendidikan anak anak dalam kalangan keluarga M40 di Johor turut akan ditekankan.
“Antara tekad saya adalah menyediakan program tuisyen percuma kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Simpang Jeram berkaitan pembelajaran.
“Saya merasakan keperluan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan kemahiran adalah suatu perkara wajib bagi mengelakkan penghijrahan anak muda ke Singapura secara berterusan.
Beliau turut merancang untuk membina jaringan kerjasama lebih erat antara institusi latihan kemahiran dan pihak industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Katanya, beliau berjanji untuk mewujudkan hubungan strategik dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi membuka lebih banyak peluang penempatan kerja kepada anak muda Simpang Jeram.
“Selain itu, saya turut merancang memperkukuh hubungan dengan sektor industri agar program latihan kemahiran menjadi lebih praktikal, relevan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan secara menyeluruh,” katanya.-UTUSAN










