HANOI: Vietnam bercadang memperkenalkan peraturan baharu yang melarang pengguna berusia bawah 16 tahun memuat naik kandungan, mengulas atau memberikan reaksi di platform media sosial, menurut draf dekri yang diteliti Reuters.
Langkah itu menjadikan Vietnam antara negara yang memperketat kawalan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.
Berdasarkan draf berkenaan, akaun media sosial milik pengguna bawah 16 tahun perlu didaftarkan menggunakan maklumat ibu bapa atau penjaga yang sah, yang turut dipertanggungjawabkan memantau kandungan ditonton serta tempoh penggunaan platform oleh anak masing-masing.
Draf itu juga mewajibkan syarikat media sosial melaksanakan langkah teknikal bagi mengenal pasti pengguna bawah umur dan memastikan kandungan yang dipaparkan adalah bersesuaian dengan peringkat usia mereka.
Timbalan Menteri Kebudayaan Vietnam, Phan Tam, berkata matlamat utama cadangan itu bukan untuk mengharamkan atau menyekat secara berlebihan akses kanak-kanak kepada media sosial, sebaliknya memastikan mereka menggunakan platform tersebut dalam persekitaran yang sesuai dengan usia serta dilindungi daripada risiko kandungan tidak wajar.
Beliau berkata demikian pada Khamis ketika menghadiri mesyuarat bagi membincangkan peraturan baharu itu.
Draf dekri tersebut turut mewajibkan platform media sosial menyediakan tahap perlindungan privasi tertinggi bagi akaun kanak-kanak, selain mengambil langkah proaktif untuk mengesan, memberi amaran dan menyekat akses kepada kandungan berkaitan keganasan, pornografi, perjudian, dadah, bunuh diri serta bahan berbahaya yang lain.
Cadangan itu mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan kerajaan di seluruh dunia terhadap aspek keselamatan dalam talian serta kesan media sosial dan kandungan berbahaya terhadap kesihatan mental kanak-kanak.
21 Julai lalu, ahli Parlimen Perancis meluluskan larangan akses media sosial kepada kanak-kanak berusia bawah 15 tahun. Australia pula menjadi negara pertama melaksanakan larangan seumpama itu, manakala beberapa negara lain turut mengambil langkah sama.
Selain media sosial, Vietnam turut mencadangkan sekatan baharu terhadap permainan dalam talian yang melibatkan pengguna bawah umur, menurut draf dekri tersebut.
Di bawah cadangan itu, pengendali permainan diwajibkan mengesahkan umur pengguna, mendaftarkan akaun milik individu berusia bawah 16 tahun melalui ibu bapa atau penjaga yang sah, serta mengehadkan tempoh permainan kepada maksimum 60 minit sehari bagi permainan yang disediakan oleh syarikat sama.- AGENSI










