KUALA LUMPUR: Belum pun sempat membina keserasian, Aaron Chia-Aaron Tai sudah dipaksa mengharungi ranjau getir apabila dijadual menentang beregu No. 3 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada pusingan pertama Terbuka China di Changzhou, hari ini.
Aaron mengakui cabaran berdepan pasangan elit dunia bukan sesuatu yang mudah, namun percaya perlawanan tersebut menjadi pentas terbaik untuk menguji kemampuan gandingan ‘scratch pair’ yang baru dibentuk selepas Soh Wooi Yik berganding dengan Man Wei Chong.
“Buat masa ini kami masih dalam proses menguji keserasian sebagai gandingan baharu. Apa yang penting ialah memberikan yang terbaik dan menikmati setiap perlawanan.
“Saya tidak kisah siapa lawan kami. Sebagai gandingan ‘scratch pair’, kami memang perlu bersedia berdepan sesiapa sahaja, termasuk pasangan pilihan. Bagi saya, persiapan lebih penting,” kata Aaron.
Aaron turut menyifatkan peluang bergandingan dengan Aaron Tai sebagai pengalaman baharu sepanjang kariernya kerana belum pernah beraksi dalam kejohanan Jelajah Dunia bersama pasangan sementara sebelum ini.
“Saya tidak boleh kata sama ada ia baik atau tidak, tetapi inilah pengalaman baharu kerana sepanjang bersama skuad kebangsaan saya belum pernah bermain dalam kejohanan sebagai gandingan ‘scratch pair’. Mungkin ini sesuatu yang baharu untuk saya.
“Pada pandangan saya, Aaron Tai ialah pemain muda yang berbakat besar. Saya rasa gandingan ini akan menjadi sesuatu yang menarik,” katanya
Lebih menarik, Changzhou bukan gelanggang asing buat Aaron apabila dia pernah muncul naib juara bersama Wooi Yik pada edisi 2023 dan 2025 selepas menarik diri pada 2024 apabila Wooi Yik mengalami kecederaan selepas Sukan Olimpik Paris 2024.-UTUSAN










