LOS ANGELES: Walaupun saingan separuh akhir Piala Dunia 2026 belum membuka tirai, tumpuan peminat bola sepak dunia kini mula beralih kepada aksi final yang bakal berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey pada 20 Julai ini.
Kejohanan yang mencipta sejarah sebagai edisi pertama dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu kini hanya berbaki beberapa hari sebelum juara dunia baharu dinobatkan.
Bagi penyokong yang masih menyimpan impian menyaksikan perlawanan akhir secara langsung, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) masih membuka peluang menerusi jualan tiket saat akhir.
Menurut FIFA, kira-kira 1,200 keping tiket Kategori 2 masih boleh dibeli dengan kebanyakannya melibatkan tempat duduk di bahagian atas Stadium MetLife pada harga AS$7,380 (RM30,116) sekeping.
Turut ditawarkan ialah tiket Kategori 1 yang berada lebih hampir dengan padang, namun peminat perlu mengeluarkan belanja jauh lebih besar apabila harga mencecah lebih AS$30,000 (RM122,000) bagi setiap tiket.
Walaupun harga yang ditawarkan dianggap premium, permintaan dijangka terus meningkat memandangkan final Piala Dunia sentiasa menjadi antara acara sukan paling mendapat perhatian di dunia.
Aksi penentuan kejuaraan itu bakal menemukan pemenang separuh akhir antara Argentina dan England dengan satu lagi finalis yang akan ditentukan menerusi pertemuan Perancis menentang Sepanyol.
Bagi penyokong yang tidak berpeluang berada di New Jersey, perlawanan akhir Piala Dunia 2026 tetap boleh disaksikan menerusi siaran langsung di seluruh dunia, sekali gus memastikan kemuncak kejohanan itu dapat dinikmati jutaan peminat bola sepak.-AGENSI










