VANCOUVER: Switzerland bersedia menghantar Algeria pulang apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di BC Place, awal pagi esok.
Pertembungan itu menyaksikan kedua-dua negara membawa misi berbeza, menyaksikan Switzerland mahu terus bertahan di pentas Piala Dunia, manakala Algeria memburu kemenangan kalah mati pertama dalam sejarah mereka.
Pasukan bimbingan Murat Yakin tiba di Vancouver dengan keyakinan tinggi selepas menjuarai Kumpulan B menerusi dua kemenangan dan satu keputusan seri, dengan meledak tujuh gol dan dibolosi tiga jaringan sepanjang saingan kumpulan.
Yakin bagaimanapun, mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan lawan walaupun dianggap sebagai pasukan pilihan dalam perlawanan itu.
“Kami menghormati Algeria kerana mereka membuktikan kemampuan sebenar dengan mara ke pusingan kalah mati. Dalam aksi seperti ini, kesilapan kecil boleh menentukan nasib sesebuah pasukan. Kami perlu bermain dengan disiplin dan mengekalkan identiti permainan Switzerland.
“Pemain-pemain kami sedar cabaran yang menanti. Kami mahu melangkah lebih jauh daripada sekadar pusingan kalah mati dan peluang itu bermula dengan aksi menentang Algeria. Fokus kami adalah memberikan persembahan terbaik selama 90 minit atau lebih,” katanya.
Di atas kertas, Switzerland memiliki kelebihan daripada aspek organisasi permainan serta pengalaman di pentas besar, namun Algeria sudah membuktikan bahawa mereka tidak gentar berdepan pasukan yang lebih ternama.
Bagi jurulatih Algeria, Vladimir Petkovic yang pernah membimbing Switzerland selama tujuh tahun dilihat sudah ‘masak’ dengan budaya bola sepak negara itu dan ia menjadikan faktor berkenaan sebagai kelebihan taktikal kepada Algeria.
“Ramai melihat Switzerland sebagai pilihan, tetapi kami tidak datang ke sini untuk menjadi pelengkap jadual. Kami sudah membuktikan bahawa Algeria mampu bersaing dengan pasukan terbaik dunia.
“Saya mengenali ramai pemain Switzerland dan saya tahu kekuatan mereka. Namun saya juga tahu kelemahan yang boleh kami manfaatkan. Yang penting ialah keberanian pemain untuk melaksanakan pelan permainan di atas padang,” jelasnya.-AGENSI










