KANSAS CITY: Menyekat penyerang sensasi Norway, Erling Haaland daripada mencipta jaringan akan menjadi satu kelebihan besar buat England, namun pemain tengah The Three Lions, Nico O’Reilly mengingatkan bahawa ancaman pasukan itu bukan hanya tertumpu kepada seorang pemain.
Haaland berada di kemuncak prestasinya dalam kejohanan itu apabila meledak tujuh gol untuk membantu Norway mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama.
Pertembungan di Miami, esok, dijangka menyaksikan beberapa pertemuan menarik antara rakan sepasukan di peringkat kelab, dengan Haaland berkemungkinan berdepan O’Reilly serta pertahanan tengah England, Marc Guehi.
Arsenal turut mempunyai wakil apabila kapten Norway, Martin Odegaard dijangka berdepan rakan sekelabnya, Declan Rice dan Bukayo Saka.
Skuad kendalian Thomas Tuchel itu mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan dramatik ke atas tuan rumah bersama, Mexico, walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pertahanan Jarell Quansah dilayangkan kad merah.
O’Reilly berkata, walaupun Haaland menjadi pemain utama Norway, pasukan itu memiliki ramai pemain berkualiti yang mampu memberikan ancaman.
“Tidak sama sekali. Mereka mempunyai pemain hebat di setiap posisi yang mampu mencipta bahaya.
“Mereka sudah membuktikannya dalam kejohanan ini apabila berjaya mara ke suku akhir dan mencipta sejarah buat negara mereka. Tetapi jika kami mampu menyekat Haaland, ia sudah pasti menjadi faktor yang sangat besar,” katanya kepada pemberita di kem latihan England di Kansas City.
Pemain pertahanan kiri Manchester City itu turut menolak kebimbangan mengenai masalah pertahanan England yang terjejas akibat kecederaan serta penggantungan dua perlawanan terhadap Quansah.
“Ia bukan situasi yang ideal, tetapi kami mempunyai pemain hebat di sini. Seperti yang anda lihat dalam perlawanan sebelum ini, pemain gantian yang masuk ke bahagian pertahanan mampu memberikan persembahan kukuh walaupun kami bermain dengan 10 pemain.
“Jadi ia bukan satu masalah besar,” katanya.
Sementara itu, penyerang Arsenal, Bukayo Saka menyifatkan England mempunyai ancaman unik kerana hampir semua pemain mampu menjaringkan gol atau mencipta peluang, walaupun Harry Kane dan Jude Bellingham menyumbang 10 daripada 11 gol pasukan setakat ini.

Saka mengakui pengalaman England dalam kejohanan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi kelebihan, namun tidak menyembunyikan sasaran utama mereka iaitu memenangi Piala Dunia.
“Itulah matlamat kami. Tetapi buat masa ini kami hanya fokus kepada perlawanan seterusnya kerana kami tahu masih ada tiga perlawanan lagi untuk mencapai sasaran itu.
“Kini tumpuan kami adalah Norway dan selepas itu barulah memikirkan separuh akhir,” katanya.
England sudah lama menjadi pencabar utama dalam kejohanan antarabangsa, namun masih menunggu kejuaraan besar pertama sejak menjulang Piala Dunia 1966 di laman sendiri.
Saka berkata, skuad The Three Lions kini sudah melupakan kemenangan dramatik ke atas Mexico dan bersedia menghadapi cabaran Norway.
“Fokus kami sekarang adalah meninggalkan perlawanan menentang Mexico di belakang, termasuk segala emosi dan drama daripada aksi tersebut.
“Kami sudah menikmati detik itu, dan kini kami hanya bersedia menghadapi Norway kerana kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar di Miami,” katanya. – AFP










