LONDON: Legenda Manchester United, Paul Scholes menjangkakan pertembungan separuh akhir Piala Dunia antara England dan Argentina bakal menjadi aksi paling mendebarkan kejohanan apabila meramalkan kemenangan dramatik 4-3 memihak kepada Three Lions.
Bekas pemain tengah England itu percaya perlawanan yang berlangsung awal pagi Khamis itu akan dipenuhi drama, kad merah, kad kuning serta pelbagai insiden panas, dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang untuk mara ke pentas final.
England bimbingan Thomas Tuchel melangkah ke kelompok empat terbaik selepas mengharungi kempen yang tidak konsisten, bermula dengan kemenangan meyakinkan ke atas Croatia sebelum aksi hambar menentang Ghana dan Panama. Mereka kemudian bangkit menewaskan Republik Demokratik Congo serta melakar kemenangan bersejarah ke atas tuan rumah bersama, Mexico di Stadium Azteca.
Argentina pula hadir selaku juara bertahan dengan rekod sempurna di peringkat kumpulan, namun laluan mereka di pusingan kalah mati jauh daripada mudah apabila diheret ke masa tambahan oleh Cape Verde sebelum bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Mesir.
La Albiceleste meneruskan kemaraan dengan kemenangan 3-1 ke atas Switzerland pada suku akhir, namun keputusan itu disifatkan tidak menggambarkan sepenuhnya corak permainan sebenar selepas Switzerland lebih banyak menguasai aksi sebelum kehilangan seorang pemain akibat kad merah.
Scholes mengakui dia tidak begitu terpesona dengan persembahan kedua-dua pasukan sepanjang kejohanan, namun merasakan England memiliki kualiti pemain yang lebih baik berbanding skuad kendalian Lionel Scaloni.
“Saya rasa perjalanan England dan Argentina hampir sama. Kedua-duanya tidak bermain begitu baik, tetapi tetap berjaya melepasi setiap halangan.
“Kelebihan Argentina ialah mereka sudah biasa dengan situasi seperti ini dan tahu bagaimana memenangi perlawanan besar, manakala England masih perlu membuktikannya,” katanya dalam podcast The Good, The Bad & The Football.
Menurut Scholes, aksi separuh akhir itu berpotensi bertukar menjadi perlawanan yang penuh kekecohan, malah beliau menjangkakan kedua-dua pasukan tidak akan berkompromi dalam perebutan tiket ke final.
“Perlawanan ini akan menjadi huru-hara. Saya boleh bayangkan keputusan 4-3 untuk mana-mana pasukan. Akan ada kad kuning, kad merah dan macam-macam lagi. Jika Argentina kalah, mereka pasti akan mengamuk. Itu saya boleh jamin,” katanya.
Scholes turut menyifatkan peluang kedua-dua pasukan sebagai 50-50, namun memilih England untuk mara ke final kerana percaya Three Lions mempunyai barisan pemain yang lebih mantap walaupun Argentina masih memiliki Lionel Messi.
“Saya rasa kami boleh mengalahkan Argentina dan juga Sepanyol, tetapi saya tidak pasti mampu menewaskan Perancis jika bertemu di final.
“Saya harap Sepanyol dapat menyingkirkan Perancis. Bagi saya, England akan menang 4-3 dalam satu perlawanan yang penuh drama,” katanya.-AGENSI










