MANILA: Russia hari ini memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya tidak meneruskan penghantaran senjata yang dianggap tidak boleh diterima kepada Ukraine, menurut kenyataan Kementerian Luar Rusia.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, menegaskan meneruskan bekalan senjata kepada pentadbiran Kyiv adalah sesuatu yang tidak boleh diterima ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari AS, Marco Rubio, di Manila.
Dalam pertemuan di luar sidang kemuncak Asia itu, Lavrov turut mengecam ‘dasar tidak stabil’ yang diamalkan negara-negara Eropah yang menurutnya masih berusaha memberikan ‘kekalahan strategik’ kepada Russia.
Beliau mengulangi Moscow bersedia mencari penyelesaian politik dan diplomatik terhadap konflik berkenaan, menurut kementerian itu.
Pertemuan tersebut, yang merupakan pertemuan pertama antara Lavrov dan Rubio sejak September 2025, berlangsung ketika tumpuan Washington beralih daripada usaha menjadi pengantara dalam konflik Ukraine kepada menangani peperangan di Asia Barat.- AFP










