PRN Johor: PSM umum manifesto, beri penekanan isu perumahan, alam sekitar dan pekerjaan - Utusan Malaysia

PRN Johor: PSM umum manifesto, beri penekanan isu perumahan, alam sekitar dan pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menawarkan tiga manifesto utama yang akan diperjuangkan pihaknya sekiranya diberikan mandat oleh pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.

Calon PSM bagi kerusi tersebut, Amir Syafiq Ameer Soekre berkata, manifesto itu terdiri daripada isu perumahan mampu milik buat rakyat, pembangunan infrastruktur seimbang dengan alam sekitar serta peluang pekerjaan untuk golongan muda.

“PSM akan menuntut agar harga rumah adalah mampu milik dan bukan hanya mampu tengok, di samping mengawal kos sewa rumah supaya sekata dengan pendapatan orang biasa. Kita akan bawa agenda menyediakan lebih banyak rumah transit bandar bagi keluarga muda dan golongan marhaen.

“Dianggarkan 23,000 perkahwinan didaftarkan di Johor setiap tahun, bermakna Johor memerlukan 23,000 rumah mampu milik setiap tahun untuk
keluarga muda yang biasanya berpendapatan sederhana.

“Jadi antara cadangan kita adalah ditambah pembinaan rumah pangsa untuk disewa kepada keluarga muda dan rakyat marhaen, pengubahsuaian bangunan komersial yang tidak lagi dipakai untuk wujudkan pangsapuri dan memperbaiki sistem penawaran rumah agar lebih telus,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan, di sini hari ini.

Tambah Amir Syafiq, berhubung manifesto pembangunan seimbang, pihaknya akan menuntut agar penyeliaan prosedur operasi standard lebih tegas buat kilang dan pusat data agar tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar termasuklah sungai-sungai sekitar Skudai.

“Manakala melibatkan peluang pekerjaan buat golongan muda pula, masalah timbul apabila kira-kira 200,000 graduan baharu dilahirkan setiap tahun namun hanya kira-kira 50,000 peluang pekerjaan baharu tersedia.

“Jadi kita mahu kerajaan negeri menggalas pembinaan lebih banyak kilang yang berkaitan dengan industri tempatan seperti pembinaan bas elektrik umpamanya, ia harus dibina di negara kita sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN