JOHOR BAHRU: Pas memilih untuk menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan tidak ditandingi wakil Perikatan Nasional (PN) kerana mahukan kestabilan dalam pentadbiran negeri, dan bukan sebaliknya menuntut sebarang jawatan.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed sehubungan itu berkata, mana-mana pemimpin BN termasuk daripada UMNO tidak perlu membuat sebarang komen angkuh terhadap keikhlasan pihaknya.
“Pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membantu memastikan kerajaan negeri dibentuk sekiranya tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti yang jelas, bukanlah kerana Pas mengharapkan jawatan atau sebarang balasan politik.
“Arahan kepada penyokong Pas supaya menyokong calon BN di DUN tidak ditandingi Pas atau PN dibuat atas pertimbangan lebih besar, iaitu memastikan kepimpinan Melayu-Islam terus menerajui negeri Johor secara adil dan bertanggungjawab kepada seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mahfodz, pihaknya berharap kesediaan kepimpinan, ahli serta penyokong parti tersebut untuk berbuka demikian tidak seharusnya disalah erti sebagai satu bentuk kelemahan.
“Sekiranya BN tidak memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan, Pas dan PN bersedia mengambil sikap matang demi kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat dan kesinambungan kepimpinan Melayu-Islam di Johor.
“Kesediaan Pas untuk bekerjasama jangan disalahertikan sebagai kelemahan. Pas tidak meminta-minta untuk berada dalam kerajaan. Pendirian kami jelas iaitu mendahulukan kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat dan masa depan Johor, mengatasi ego serta kepentingan sempit kepartian.
“Inilah semangat ‘Jom Jaga Johor’ yang kami bawa,” katanya.-UTUSAN










