PRN Johor mampu cetus gelombang biru ke Negeri Sembilan, Melaka - KJ - Utusan Malaysia

PRN Johor mampu cetus gelombang biru ke Negeri Sembilan, Melaka – KJ

Khairy Jamaluddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini akan mencetuskan ‘gelombang biru’ kepada PRN seterusnya yang akan berlangsung di Negeri Sembilan dan Melaka.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehubungan itu BN perlu menggandakan usaha dalam kempen berbaki dua hari untuk meyakinkan rakyat di seluruh negeri mengundi calon mereka.

Katanya, ‘mood’ ketika ini terutamanya dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu khususnya serta pengundi bukan Melayu adalah lebih positif ke arah BN.

“PRN Johor ini adalah sangat-sangat penting. Insya-Allah, 11 Julai ini kita menang, saya akan bawa gelombang biru daripada Johor ke Negeri Sembilan. Kita yakinkan BN bertanding solo di Negeri Sembilan pula.

“Menang di Negeri Sembilan, kita nak bawa gelombang biru itu pergi Melaka pula. Gelombang biru yang akan bermula di bumi Johor, di bumi Bukit Permai ini akan dibawa ke Pilihan Raya Umum (PRU) tahun depan,” katanya ketika berucap pada Program Santai Bersama KJ dan Jafni di Southern Tiger Hub, Bandar Putra, di sini hari ini.

Turut hadir, calon BN di Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor; calon BN di Bukit Batu, R. Kumaran dan calon BN di DUN Senai, Kiki Tai.

Tambah Khairy Jamaluddin, kemenangan di PRN Johor akan menambah keyakinan rakyat di Negeri Sembilan untuk kembali memberi sokongan kepada BN.

“Kita harap dapat kemenangan besar di Johor, pengundi di Negeri Sembilan pun bertambah yakin. Sekiranya dapat bentuk kerajaan yang stabil, kerajaan yang kuat, kerajaan yang tidak perlu bergabung, maka tidak perlu minta ihsan daripada mana-mana parti yang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau bagaimanapun enggan memikirkan sama ada akan terlibat sebagai calon pada PRN Negeri Sembilan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN