EAST RUTHERFORD: Pengendali Sweden, Graham Potter mengakui pasukannya tidak mempunyai jawapan untuk mengekang kehebatan juara dunia, Perancis yang diterajui Kylian Mbappe selepas tewas 0-3 pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Sweden tersingkir seawal pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 1990, namun Potter tetap berbangga dengan semangat dan perkembangan dipamerkan barisan pemain mudanya.
“Kami perlu bermain dengan sempurna, tetapi walaupun berjaya melakukannya, saya masih tidak pasti ia sudah memadai kerana Perancis berada pada tahap yang sangat tinggi.
“Lihat sahaja pengalaman dan rekod pemain mereka berbanding kami. Sweden adalah pasukan muda yang sedang membina kekuatan dan saya percaya masa depan kami masih cerah,” katanya.
Jurang kualiti antara kedua-dua pasukan jelas terserlah apabila Perancis mara ke pusingan kalah mati dengan rekod sempurna sembilan mata, manakala Sweden terpaksa melalui aksi playoff sebelum mengharungi saingan kumpulan yang mencabar.
Les Bleus tidak menunggu lama untuk mempamerkan penguasaan apabila Mbappe meledak dua gol, termasuk satu rembatan lencong menarik menjelang tamat babak pertama, manakala Bradley Barcola turut mencatat nama sebagai penjaring.
Pertahanan Sweden, Victor Lindelof mengakui mereka masih menyimpan harapan untuk mencipta kejutan, terutama selepas Paraguay mengejutkan Jerman menerusi penentuan sepakan penalti sehari sebelum itu.
“Kami berharap dapat mengekalkan keputusan tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama, tetapi gol awal mereka pada babak kedua menyukarkan lagi keadaan.Kami menentang sebuah pasukan yang luar biasa, namun tetap berusaha untuk menguasai permainan,” katanya.
Mengulas peluang Perancis selepas ini, Potter menyifatkan skuad bimbingan Didier Deschamps berada pada tahap yang sukar ditandingi.
“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, tetapi secara peribadi saya belum pernah melihat pasukan yang lebih baik daripada Perancis,” katanya.
Perancis kini mengintai tempat ke suku akhir apabila dijadual menentang Paraguay pada pusingan 16 terbaik.-AGENSI










