PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) meluncurkan Model Saringan Maqasid Al-Syariah dalam Pelaburan Bertanggungjawab (MSRI), satu pendekatan saringan pelaburan yang mengintegrasikan rangka kerja Maqasid al-Syariah dan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)
Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, peluncuran ini adalah hasil kerjasama erat antara PNB dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kerjasama strategik ini adalah bukti nyata bahawa institusi pelaburan negara dan institusi agama mampu berganding bahu dalam membangunkan ekosistem ekonomi yang bukan sahaja mapan dari segi kewangan, tetapi juga utuh dari segi nilai dan etika,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Wacana Literasi Kewangan Islam Berteraskan Maqasid Al-Syariah sempena Peluncuran MSRI dan Zakat Khultah, di Bangi, Isnin lalu.
Majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Saringan MSRI digunakan sebagai sebahagian daripada proses analisis dan pembuatan keputusan pelaburan bagi portfolio pelaburan domestik PNB, bertujuan untuk memperluaskan skop saringan syariah melangkaui penilaian kewangan dan aktiviti perniagaan semata-mata.
Model ini menilai pelaburan berdasarkan lima dimensi Maqasid al-Syariah yang diperkenalkan oleh Imam al-Ghazali, di samping mengintegrasikan elemen ESG secara menyeluruh dalam analisis pelaburan.
Ia turut mengambil kira skor kontroversi dan skor bonus bagi menilai isu-isu semasa yang mencerminkan kedua-dua kesan negatif serta usaha positif yang dilaksanakan oleh syarikat.
Dalam pada itu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) turut meluncurkan kaedah pembayaran Zakat al-Mustaghallat secara khultah (kolektif), sebuah kemudahan buat pelabur Islam yang melabur dalam unit amanah harga tetap ASNB untuk menunaikan kewajipan membayar zakat setiap tahun.
Zulkifli berkata, kemudahan yang disediakan ini membolehkan pelabur ASNB menunaikan kewajipan mereka secara lebih mudah dan teratur.
“Pelabur Islam yang melabur dalam unit amanah ASNB, dinasihatkan supaya memanfaatkan sepenuhnya kaedah pembayaran Zakat al-Mustaghallat secara khultah (kolektif) ini untuk menunaikan kewajipan membayar zakat setiap tahun.
”Saya menyokong pelaksanaan zakat secara khultah ini kerana dari sudut pelabur, manfaatnya amat praktikal dan selaras dengan ketetapan syariah.
“Para pelabur beragama Islam ASNB menikmati pendapatan bersih yang kekal kompetitif, di samping memastikan kewajipan zakat mereka diurus secara sistematik dan efisien, tanpa menjejaskan matlamat pelaburan jangka panjang mereka,” tambahnya.
Kaedah zakat secara khultah telah diperkenalkan oleh ASNB sejak 25 Mei 2026 untuk semua dana harga tetap dan telah distruktur kepada Kelas A dan Kelas B.
Pemegang unit sedia ada secara automatik ditempatkan dalam Kelas A, manakala Kelas B adalah untuk pemegang unit Muslim yang memilih untuk pembayaran zakat mereka diuruskan oleh ASNB, iaitu zakat secara khultah (kolektif).
“Melalui Kelas B, zakat dikira 2.57 peratus daripada dividen yang diterima sebelum diagihkan kepada pemegang unit, menjadikan dividen yang diterima bersih selepas ditolak zakat.
“Kaedah zakat ini menggunakan kaedah al-Mustaghallat yang diluluskan oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada September 2025.
“Setakat 16 Julai 2026, seramai 131,121 akaun oleh pelabur Islam yang melabur dalam unit amanah ASNB telah memilih untuk opt-in ke Kelas B,” jelasnya. – UTUSAN










