EAST RUTHERFORD: Pentas akhir Piala Dunia bakal menyaksikan pertembungan dua gergasi bola sepak apabila Argentina dan Sepanyol berentap di Stadium MetLife, esok, dengan kedua-dua pasukan membawa misi berbeza untuk mengukir sejarah.
Argentina yang diketuai Lionel Messi memburu gelaran dunia kedua berturut-turut sekali gus muncul pasukan pertama mempertahankan kejuaraan sejak Brazil melakukannya pada 1962.
Sepanyol pula berpeluang menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan sulung mereka di Afrika Selatan pada 2010.
Menjelang aksi kemuncak itu, pihak penganjur mengesahkan mereka sedang memantau keadaan jerebu berpunca daripada kebakaran hutan di Kanada yang menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan di Amerika Syarikat (AS).
Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Piala Dunia Rumah Putih, Andrew Giuliani berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan dan FIFA bagi memastikan situasi berada dalam keadaan terkawal.
“Kami sentiasa memantau keadaan dan mempunyai wakil Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di ibu pejabat FIFA bagi mendapatkan perkembangan terkini,” katanya.
Perlawanan akhir itu dijangka disaksikan lebih 80,000 penonton termasuk Presiden AS, Donald Trump yang hadir buat pertama kali sepanjang kejohanan berlangsung.
Turut dijangka berada di stadium ialah Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum selepas menerima jemputan daripada Trump.










