NEW YORK: Kemeriahan Piala Dunia 2026 dicemari kontroversi apabila sekumpulan penyokong bertindak memfailkan saman terhadap StubHub selepas mendakwa platform jualan semula tiket itu gagal menyerahkan tiket yang telah dibeli untuk menyaksikan kejohanan bola sepak terbesar dunia tersebut.
Dalam saman tindakan kelas yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Manhattan, plaintif mendakwa mereka mengalami kerugian besar selepas tidak menerima tiket yang dijanjikan walaupun telah membuat pembayaran, termasuk bagi tiket yang dibeli pada harga yang jauh lebih tinggi daripada nilai asal.
Menurut dokumen mahkamah, para peminat berkenaan mendakwa mereka “tidak menerima apa yang dibayar” apabila StubHub gagal memenuhi tanggungjawab menyerahkan tiket seperti yang dipersetujui.
Setakat ini, StubHub belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sebagai maklum balas terhadap tuntutan yang dikemukakan itu.
Sepanjang kejohanan yang berlangsung di United States, Mexico dan Canada, media sosial dipenuhi aduan daripada penyokong yang mendakwa tiket mereka dibatalkan pada saat akhir, selain terdapat kes di mana tiket gantian yang dijanjikan gagal disediakan.
Lebih mengecewakan, ramai penyokong memaklumkan mereka sudah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk penerbangan dan penginapan semata-mata bagi menyaksikan perlawanan secara langsung, namun akhirnya tidak dapat memasuki stadium kerana isu tiket yang tidak diselesaikan.
“Kami ditipu dan membeli tiket Piala Dunia dengan harga yang sangat mahal, namun akhirnya mengalami kerugian kewangan yang besar.
“Ini adalah satu lagi episod buruk dalam industri penjualan tiket sukan yang sekian lama berdepan isu perlindungan pengguna sehingga merugikan peminat yang menjadi nadi kepada sukan,” menurut kandungan saman tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, StubHub dilaporkan menyalahkan sistem jualan semula tiket milik FIFA dengan mendakwa masalah berkenaan berpunca daripada infrastruktur pengurusan tiket yang digunakan badan induk bola sepak dunia itu.
Sebelum ini, FIFA telah mengingatkan penyokong supaya mendapatkan tiket menerusi platform jualan semula rasmi yang disediakan badan berkenaan kerana dianggap lebih selamat, sah dan boleh dipercayai berbanding saluran pihak ketiga.
Melalui tindakan undang-undang tersebut, plaintif menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$5 juta (RM20.4 juta) bagi mewakili ribuan pembeli di Amerika Syarikat yang didakwa tidak menerima tiket yang dibeli menerusi StubHub.
Mereka turut mendakwa syarikat itu melanggar beberapa undang-undang perlindungan pengguna serta mengelirukan pelanggan menerusi dakwaan dan promosi yang tidak selari dengan perkhidmatan sebenar yang diberikan.
Kes berprofil tinggi itu dijangka mendapat perhatian besar kerana melibatkan ribuan penyokong Piala Dunia dan berpotensi mencetuskan perdebatan baharu mengenai tahap perlindungan pengguna dalam industri penjualan semula tiket sukan global.-AGENSI










