JOHOR BAHRU: Pelantikan seramai 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Johor disifatkan sebagai satu langkah progresif dan strategik dalam memperkukuh pentadbiran negeri, dan bukan menambah birokrasi atau pembaziran wang rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, langkah itu bertujuan memperkasa sistem penyampaian agar setiap dasar, inisiatif dan perkhidmatan dapat dilaksana dengan lebih pantas, efektif, serta menyeluruh.
Menurutnya, skop tugas exco ketika ini semakin luas dan mencabar seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi, kemasukan pelaburan asing, projek strategik serta populasi negeri yang kini melebihi empat juta penduduk merangkumi kawasan seluas 19,200 kilometer persegi.
“Seorang exco bukan sahaja bertanggungjawab menggubal dasar dan menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, malah perlu turun padang untuk memantau pelaksanaan projek pembangunan, menyelesaikan isu rakyat, serta menyelaraskan pelbagai jabatan dan agensi.
“Dengan adanya Timbalan Exco, tanggungjawab ini dapat diagih secara lebih tersusun tanpa menjejaskan kecekapan pentadbiran,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Hairi berkata, pendekatan itu bukan perkara baharu dalam sistem pentadbiran negara kerana Sabah, Sarawak, dan Melaka telah lama melantik Pembantu Menteri atau Timbalan Exco bagi membantu memperkasa pelaksanaan dasar kerajaan.
“Dalam pentadbiran moden, apa yang lebih penting ialah nilai untuk wang atau ‘value for money’. Jika pelantikan Timbalan Exco mampu mempercepat penyelesaian isu rakyat dan memastikan projek siap mengikut jadual, manfaat yang diterima rakyat adalah jauh lebih besar.
“Rakyat hari ini tidak menilai kerajaan berdasarkan jumlah jawatan yang diwujudkan, tetapi melalui keberkesanan pentadbiran, kelajuan menyelesaikan masalah, serta mutu penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap seluruh rakyat Johor dapat melihat pelantikan berkenaan dari sudut positif demi merealisasikan aspirasi Agenda Maju Johor 2030.-UTUSAN










