KOTA TINGGI: Seorang nelayan dihukum penjara 26 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Pengerang, hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak lelaki di Mersing sejak tahun lalu.
Hakim, Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Mohamad Khairudin Jaffar, 34, mengaku bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual ke atas seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun di bawah jambatan berhampiran restoran KFC Mersing, pada Mac 2025.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa yang sama pada pukul 5.40 petang di dalam bilik tertuduh di Taman Sri Daik, Mersing, pada 21 Mei lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan cara memegang kemaluan kanak-kanak lelaki lain berusia 10 tahun kira-kira pukul 10 malam di bawah pokok di kawasan lapang tepi jalan Mersing-Jemaluang, sekitar tahun lalu.
Manakala bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak lelaki lain berumur 10 tahun 10 bulan lebih kurang pukul 11 malam di kawasan lapang tepi jalan bertar Taman Wawasan Indah, Mersing pada Ogos 2025.
Oleh itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, Perintah Seksyen 26(1) AKSTKK 2017, Seksyen 27(1) AKSTKK dan Perintah Seksyen 26A AKSTKK 2017.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd. Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN










