MEXICO CITY: Mexico menamatkan penantian 40 tahun untuk memenangi aksi kalah mati Piala Dunia apabila menewaskan Ecuador 2-0 di Stadium MExico City, semalam.
Perlawanan pusingan 32 terakhir itu tertangguh selama sejam akibat ribut, namun tuan rumah tidak menunggu lama untuk menguasai permainan sebaik aksi bermula.
Dalam suasana penuh gegak gempita dihadapan lebih 80,000 penyokong setia, Julian Quinones meledak gol pembukaan pada pertengahan babak pertama menerusi rembatan padu sebelum membantu jaringan kepada Raul Jimenez.
Kejayaan itu menyaksikan tuan rumah bersama itu mara ke pusingan 16 terbaik, sekali gus mencipta kemenangan pertama mereka di peringkat kalah mati Piala Dunia sejak menewaskan Bulgaria pada 1986.
Mexico kini akan berdepan sama ada England atau Republik Demokratik Congo (DR Congo) di pusingan 16 terbaik, dengan perlawanan itu juga menjadi aksi terakhir Piala Dunia di Stadium Mexico City.
“Kami bermain dengan sangat baik pada babak pertama dan pada separuh masa kedua kami berjaya kekal tenang ketika bertahan.
“Melihat kepada suasana stadium dan kegembiraan penyokong, saya yakin wujud hubungan yang sangat erat antara pasukan dan penyokong,” kata pengendali Mexico, Javier Aguirre.
Ketika wisel penamat ditiup, pemain Mexico meraikan kemenangan bersama penyokong yang menyanyikan lagu mariachi terkenal El Rey di seluruh Stadium Azteca.
“Perlawanan Ahad nanti adalah yang paling penting dalam sejarah pasukan kebangsaan Mexico dan juga sepanjang karier saya,” tambah Aguirre.-AGENSI










