Messi selamatkan Argentina daripada diaib Cape Verde

Messi selamatkan Argentina daripada diaib Cape Verde

Penjaga gol Cape Verde, Vozinha menyelamatkan percubaan pemain Argentina ketika aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, Miami Gardens, Florida, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Juara bertahan, Argentina dipaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan pasukan kerdil, Cape Verde 3-2 selepas masa tambahan pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, hari ini.

Lionel Messi sekali lagi menjadi penyelamat La Albiceleste apabila meledak gol ketujuh kejohanan sebelum sepakan penjuru kapten berusia 39 tahun itu menghadiahkan gol kemenangan hasil jaringan sendiri pertahanan Cape Verde, Diney Borges ketika aksi berbaki beberapa minit.

Cape Verde yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia terus membuktikan mereka bukan pasukan belasahan apabila dua kali bangkit menyamakan kedudukan sehingga memaksa Argentina mengerah kudrat sepanjang 120 minit permainan.

Messi terlebih dahulu meletakkan Argentina di depan menerusi penyudah tenang pada babak pertama sebelum Deroy Duarte menghidupkan semula harapan Cape Verde menerusi rembatan rendah yang gagal diselamatkan Emiliano Martinez.

Argentina kembali di depan seawal masa tambahan hasil rembatan Lisandro Martinez, namun Sidny Lopes Cabral mencuri perhatian apabila meledak gol sensasi ke penjuru atas gawang untuk sekali lagi mengikat kedudukan 2-2.

Ketika perlawanan dilihat menuju penentuan sepakan penalti, sepakan penjuru Messi berjaya disudahkan Cristian Romero sebelum bola terkena Borges dan menerjah gawang sendiri sekali gus menghadiahkan kemenangan dramatik buat juara dunia itu.

Cape Verde hampir sekali lagi mencipta kejutan pada saat-saat akhir, namun Martinez tampil cemerlang menepis percubaan Lopes Cabral untuk memastikan Argentina mengesahkan pertemuan menentang Mesir pada pusingan 16 terbaik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN