MIAMI: Kapten Argentina, Lionel Messi mengakui masih sukar menerima kekalahan pasukannya kepada Sepanyol dalam aksi final Piala Dunia 2026, sambil menyifatkan kesedihan yang dirasai amat mendalam dan mengambil masa untuk dipulihkan.
Messi berkata, meskipun keputusan itu mengecewakan, dia tetap berbangga dengan pencapaian skuad Argentina yang berjaya mara ke pentas final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
“Hari ini memang sukar untuk menghargai apa yang telah kami capai, namun kami berjaya melangkah ke dua perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut. Saya akan terus menghargai segala kenangan indah sepanjang kejohanan ini,” katanya.
Dalam masa sama, pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu turut mengucapkan tahniah kepada Sepanyol yang muncul juara selepas menewaskan Argentina dalam masa tambahan.
Messi yang berusia 39 tahun dilaporkan gagal menahan sebak sebaik tamat perlawanan, manakala prestasi Argentina pada aksi final dilihat gagal menandingi corak permainan lebih tersusun yang dipamerkan Sepanyol.
Sepanjang kempen Piala Dunia 2026, Argentina mempamerkan kebangkitan mengagumkan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Mesir dan England pada pusingan kalah mati, sebelum mengatasi Cape Verde serta Switzerland menerusi masa tambahan.
Messi turut menghargai sokongan luar biasa rakyat Argentina yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan sepanjang kejohanan.
“Perlawanan yang kami bangkit dengan memberikan segala-galanya akan kekal dalam ingatan. Sokongan seluruh negara serta kerja keras dan pengorbanan skuad membolehkan kami sekali lagi berada dalam kalangan pasukan terbaik dunia,” katanya.
Penyerang Inter Miami itu menamatkan kejohanan sebagai antara pemain paling menyerlah selepas meledak lapan gol, namun gagal memberikan impak pada aksi final.
Kekalahan tersebut menyaksikan Messi kini tewas dalam dua final Piala Dunia, masing-masing pada 2014 dan 2026 selepas pernah menjulang trofi berprestij itu pada edisi 2022 dengan menewaskan Perancis. – AFP










