Martinez sebak kenang kejayaan Argentina 

Martinez sebak kenang kejayaan Argentina 

EMILIANO Martinez-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez mengakui adakalanya dia menitiskan air mata apabila mengenangkan kejayaan yang telah dicapai bersama skuad kebangsaan sejak beberapa tahun lalu menjelang aksi final Piala Dunia 2026 menentang Sepanyol di Stadium MetLife, esok.

Menurut pemain Aston Villa itu, kejayaan menjulang Piala Dunia 2022, Copa America 2021 dan 2024 serta Finalissima 2022 merupakan hasil usaha berterusan seluruh pasukan.

“Saya hanya fokus untuk menang. Seluruh pasukan telah berkembang dengan begitu banyak dan ini adalah sesuatu yang telah kami bina selama bertahun-tahun.

“Kadangkala saya menangis sendirian apabila mengenangkan apa yang telah kami capai. Saya hanya cuba menikmati setiap detik ini kerana sebagai pemain bola sepak, ada kalanya kita sendiri tidak benar-benar sedar di mana kedudukan kita dalam kerjaya,” katanya kepada pemberita di New York.

Martinez turut menggesa rakan sepasukannya supaya menikmati peluang beraksi di pentas final kerana detik tersebut akan menjadi kenangan sepanjang hayat.

“Pesanan saya kepada rakan sepasukan ialah supaya mereka menikmati detik ini dan membuat persiapan dengan senyuman di wajah. Ini adalah sesuatu yang akan kami kenang selama-lamanya,” katanya.

Penjaga gol berusia 33 tahun itu dikenang sebagai wira Argentina dalam kempen Piala Dunia 2022 selepas melakukan aksi menyelamat penting pada penghujung masa tambahan bagi menggagalkan percubaan Randal Kolo Muani ketika aksi final menentang Perancis.

Mengimbas perlawanan itu, Martinez berkata, Argentina sebenarnya menguasai sebahagian besar permainan sebelum Perancis bangkit mengikat kedudukan sehingga memaksa penentuan sepakan penalti.

“Dalam perlawanan akhir yang lalu, kami jauh lebih baik daripada Perancis selama 80 minit sehingga mereka mendapat penalti. Namun akhirnya kami melepaskan tiga gol dan biasanya apabila anda dibolosi tiga gol dalam perlawanan akhir, peluang untuk kalah adalah lebih tinggi.

“Saya hanya perlu melakukan satu aksi menyelamat pada penghujung perlawanan. Syukurlah dalam perlawanan akhir itu bola tidak melepasi saya,” katanya.

Martinez turut mengakui dia menikmati kempen Piala Dunia kali ini dengan lebih baik walaupun memasuki kejohanan dalam keadaan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan patah jari yang dialami ketika beraksi bersama Aston Villa dalam final Liga Europa pada Mei lalu. 

“Saya rasa saya kini bermain lebih baik menggunakan kaki, membuat keputusan dengan lebih tepat dan saya amat bersyukur kerana dapat beraksi dalam final kelima bersama pasukan ini,” katanya.

Sekiranya menewaskan Sepanyol, Argentina akan muncul negara pertama sejak Brazil pada 1962 yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Dunia. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN