Manifesto PH hanyalah 'copy paste', manifesto BN original - Khairy Jamaluddin - Utusan Malaysia

Manifesto PH hanyalah ‘copy paste’, manifesto BN original – Khairy Jamaluddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang baharu diumumkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah kerja saat akhir yang seolah-olah meniru manifesto Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negeri ini dengan baik.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kepimpinan PH ketandusan idea apabila terpaksa menggunakan dasar dan polisi yang telah dibuat Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sejak lebih empat tahun lalu.

Sehubungan itu katanya, rakyat Johor perlu bijak dengan memilih manifesto yang asal dan telah terbukti, berbanding manifesto yang ditiru pihak lawan.

“Saya baca manifesto PH yang baharu diumumkan, sudahlah buat kerja lambat kerana hari ini baru dilancar, tetapi rupa-rupanya manifesto ‘copy paste’. Soal perumahan, orang muda, ekonomi, perusahaan kecil dan sederhana, mereka tunggu seminggu kerana mahu ‘copy paste’.

“Antara yang original dan tiruan, adalah lebih baik orang Johor memilih manifesto yang original iaitu oleh BN berbanding yang ‘copy paste’,” katanya ketika berucap pada program Himpunan Anak Tiram di Kota Masai, di sini malam ini.

Turut hadir, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Tambah bekas Menteri Kesihatan itu, kerajaan negeri BN yang kukuh akan membolehkan pelbagai dasar dan polisi diranhka dan dilaksanakan dengan baik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri ini.

“Sehubungan itu, rakyat Johor diminta memulakan gelombang biru bagi membolehkan BN terus kekal menang solo. Gelombang biru itu akan bermula dari selatan dan naik ke Negeri Sembilan selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu hatinya tidak pernah tergerak untuk meninggalkan UMNO iaitu parti yang telah banyak berjasa kepada dirinya sejak lebih 20 tahun lalu walaupun dikenakan tindakan disiplin daripada kepimpinan tertinggi parti.

“Saya buat podcast dan namakan Keluar Sekejap, kerana saya tahu walaupun presiden UMNO marah kepada saya, tetapi ia tidak lama. Alhamdulillah berkat doa, sambutan Aidilfitri dan kebesaran hati presiden, saya dapat detik yang lama ditunggukan.

“Selama tiga tahun saya di luar, ada beberapa parti politik menjemput, termasuklah parti lawan. Terima kasih saya ucapkan atas Jemputan tetapi minta maaf, hati saya tetap pada UMNO. Bukan saya sahaja, tetapi juga pemimpin-pemimpin lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN