KUALA LUMPUR: Kerajaan meneliti pendekatan model Maori Council di New Zealand sebagai rujukan dalam cadangan penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung Malaysia bagi memperkukuh peranan masyarakat Orang Asli dalam perkara berkaitan kepentingan mereka.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, cadangan itu dikemukakan menerusi Laporan Kajian Semakan Pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) sebagai alternatif kepada penubuhan Suruhanjaya Kebangsaan yang Bebas mengenai Orang Asal.
Menurut beliau, dapatan kajian menunjukkan majoriti responden iaitu 55.7 peratus tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya berkenaan.
“Sebagai alternatif, kajian mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung Malaysia.
“Penubuhan Majlis ini mencontohi model Maori Council di New Zealand serta selaras dengan prinsip kemandirian (self-determination) UNDRIP untuk berfungsi sebagai badan penasihat rasmi kepada Menteri dalam segala perkara berkaitan kepentingan Orang Asli,” katanya ketika menggulung Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Rubiah berkata, kementerian turut sedang merangka Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) bagi memperkasakan masyarakat Orang Asli menerusi pembangunan inklusif tanpa menjejaskan identiti, hak adat dan budaya mereka.
Katanya, DPOA memberi tumpuan kepada tujuh lonjakan utama merangkumi aspek tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.
“Pelaksanaan DPOA ini dirangka bagi menangani cabaran pembangunan Orang Asli termasuk isu yang dibangkitkan dalam Laporan Inkuiri Nasional.
“Ia menuntut penglibatan aktif dan sinergi pelbagai pihak menerusi pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation membabitkan agensi Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO/CSO) serta komuniti Orang Asli sendiri,” katanya. – UTUSAN










