Mahasiswa UUM perkasa komuniti Temuan melalui Program SERUMPUN

Mahasiswa UUM perkasa komuniti Temuan melalui Program SERUMPUN

LEBIH 250 peserta membanjiri Dewan Kampung Orang Asli Bukit Tadom di sini sempena Program SERUMPUN: Mahasiswa UUM Bersama Komuniti Temuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING: Lebih 250 peserta membanjiri Dewan Kampung Orang Asli Bukit Tadom di sini sempena Program SERUMPUN: Mahasiswa UUM Bersama Komuniti Temuan, sekali gus menjadi platform memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor korporat dan masyarakat setempat dalam usaha memperkasakan komuniti Orang Asli.

Program anjuran pelajar Kursus Pembangunan Masyarakat IV (VKMB2041), Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan tenaga secara cekap menerusi Literasi Tenaga, selain memperkukuh pengetahuan berkaitan keselamatan kebakaran dan langkah-langkah pencegahannya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Hadi Anak Jembik.

Turut hadir dalam program itu adalah Pensyarah Kursus VKMB2041, Zulhairi Zakariah yang mewakili Pengarah PACE UUM serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bukit Tadom, Soeb Miah.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi dan rakan strategik termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Penganjuran SERUMPUN turut mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan graduan yang seimbang dari aspek akademik dan sahsiah melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak langsung kepada komuniti.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat termasuk sesi Literasi Tenaga, demonstrasi penggunaan alat pemadam api, pameran keselamatan kebakaran, aktiviti interaktif bersama komuniti serta penyampaian sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk kampung.

Pengarah Program, Mohd Khairulnizam Zainodin berkata, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti Temuan, malah menjadi medan terbaik untuk mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar.

Menurut beliau, pendedahan secara langsung bersama komuniti membantu mahasiswa membentuk nilai kepimpinan, semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial yang amat penting dalam pembangunan diri mereka sebagai bakal pemimpin masyarakat.

“Kami berharap Program SERUMPUN dapat memberikan manfaat kepada komuniti Temuan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan tenaga secara cekap melalui amalan Literasi Tenaga serta langkah-langkah pencegahan kebakaran.

“Pada masa yang sama, program ini menjadi platform pembelajaran yang amat berharga kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, di samping menghayati nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti.

“Kami juga berharap jalinan kerjasama yang terjalin antara Universiti Utara Malaysia, agensi kerajaan, rakan korporat dan komuniti setempat menerusi Program SERUMPUN akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih banyak inisiatif pembangunan komuniti yang memberi impak positif dan mampan,” katanya.

Kejayaan program tersebut membuktikan bahawa kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan sektor korporat mampu menghasilkan inisiatif yang memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya komuniti Orang Asli.

Program SERUMPUN diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pembangunan komuniti yang mampan, selain menjadi medium memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan masyarakat dalam usaha meningkatkan kesejahteraan sosial secara menyeluruh.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja, sukarelawan dan penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tadom yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan.

Melalui pendekatan pendidikan, kesedaran dan penglibatan komuniti secara langsung, Program SERUMPUN membuktikan bahawa usaha memperkasakan masyarakat memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh dan berterusan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN