NEW DELHI: Seorang lelaki ditahan di daerah Bagalkot, Karnataka, India selepas didakwa membunuh isterinya kerana mengesyaki wanita itu menjalinkan hubungan sulit.
Mangsa, Bhagyashree Jigalur, ditemukan mati di rumah mereka di kampung Galagali, kawasan Bilagi, pada petang Isnin.
Polis berkata, suami mangsa, Praveen Ashok Jigalur, 29, didakwa menggantung isterinya sebelum merakam video ketika wanita itu sedang bergelut. Video berkenaan kemudian dikongsi kepada bapa mangsa, ahli keluarga lain serta beberapa rakan.
Penyiasat turut menyiasat kemungkinan Bhagyashree didera sebelum kematiannya, selepas kecederaan ditemukan pada tubuh mangsa.
Jigalur kini ditahan dan kes bunuh didaftarkan berdasarkan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa.
Polis berkata siasatan masih dijalankan bagi menentukan kejadian sebenar, termasuk sama ada mangsa diserang terlebih dahulu sebelum digantung atau meninggal dunia akibat perbuatan tersebut selepas berlaku penderaan.
“Terdapat kecederaan berdarah pada tubuh wanita itu, dan suspek dipercayai menyimpan rasa tidak puas hati terhadap mangsa. Bukannya cuba menyelamatkannya, suspek sebaliknya merakam video dan segera berkongsi rakaman itu dengan beberapa individu,” kata Ketua Polis Daerah Bagalkot, Siddharth Goyal.
Polis mendapatkan semula video yang dipercayai disimpan dalam telefon bimbit wanita itu, selain rakaman yang dibuat suspek selepas kejadian.
“Suspek berkongsi video berkenaan dengan bapa wanita itu, ahli keluarga serta beberapa rakannya. Kami mendapatkan semula rakaman tersebut,” kata pegawai berkenaan.
Polis turut merampas senjata dipercayai seperti batang besi dari rumah berkenaan dan mengumpul bahan bukti untuk pemeriksaan forensik. Pegawai turut menemukan beberapa botol bir di lokasi kejadian dan sedang menyiasat sama ada mangsa dipaksa mengambil minuman beralkohol.
“Pemeriksaan bedah siasat akan menjelaskan jenis kecederaan pada bahagian leher mangsa. Kami juga sedang menyiasat sama ada mangsa diberikan sebarang bahan memabukkan. Kandungan perut mangsa telah dipelihara dan dihantar ke Makmal Sains Forensik untuk dianalisis,” kata pegawai itu.- AGENSI










