ARLINGTON: Jurulatih Ivory Coast, Emerse Fae mengakui kekurangan pengalaman dalam kalangan pemain mudanya menjadi faktor utama kegagalan pasukan itu meneruskan kemaraan selepas tewas 1-2 kepada Norway dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.
Kekalahan dramatik itu hadir selepas penyerang sensasi Norway, Erling Haaland meledak gol kemenangan empat minit sebelum tamat perlawanan, sekali gus memadamkan harapan Ivory Coast untuk melangkah lebih jauh.
Norway terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Antonio Nusa pada babak pertama sebelum Amad Diallo menghidupkan semula peluang Ivory Coast dengan gol penyamaan menarik pada minit ke-74.
Bagaimanapun, kegagalan mempertahankan keputusan seri membolehkan Haaland menghukum mereka menerusi gol kemenangan pada penghujung perlawanan.
Fae menyifatkan kekalahan itu amat memeritkan kerana anak buahnya mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang 90 minit.
“Memang sukar untuk menerima kekalahan pada saat-saat akhir. Para pemain telah berjuang dari wisel pertama sehingga wisel penamat dan saya bangga dengan komitmen yang mereka tunjukkan.
“Ramai pemain kami beraksi di Piala Dunia buat kali pertama. Kami belajar banyak perkara sepanjang kejohanan ini, namun mungkin kami masih kurang matang dalam mengendalikan situasi penting,” katanya.
Menurut Fae, pasukannya sepatutnya lebih berhati-hati selepas berjaya menyamakan kedudukan dan cuba mengheret permainan ke masa tambahan.
“Mungkin kami sepatutnya lebih pragmatik selepas gol penyamaan. Apabila berdepan pasukan berkualiti seperti Norway, anda tidak boleh memberi walau sedikit ruang kerana mereka pasti menghukum setiap kesilapan.
“Kami terlalu ghairah mencari gol kedua selepas menyamakan kedudukan. Akibatnya, ruang terbuka di bahagian pertahanan dan mereka memanfaatkannya sebaik mungkin,” jelasnya.
Walaupun tersingkir, pencapaian mara ke pusingan kalah mati tetap menjadi detik bersejarah buat Ivory Coast selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam tiga penampilan terdahulu.
Ia juga merupakan penampilan pertama Ivory Coast di pentas Piala Dunia sejak edisi 2014, selepas menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan di belakang Jerman hasil kemenangan ke atas Ecuador dan Curacao.-AGENSI










