Konsulat AS di Toronto sekali lagi jadi sasaran tembakan

Konsulat AS di Toronto sekali lagi jadi sasaran tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TORONTO: Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Toronto sekali lagi menjadi sasaran tembakan awal pagi semalam, namun tiada kecederaan dilaporkan, menurut polis Kanada.

Kejadian itu adalah insiden tembakan kedua berlaku berhampiran kompleks diplomatik berkenaan dalam tempoh empat bulan.

Timbalan Ketua Polis Toronto, Frank Barredo, berkata seorang anggota polis yang berkawal di konsulat itu terdengar bunyi tembakan kira-kira jam 4.45 pagi sebelum mendapati bahagian hadapan bangunan berkenaan terkena tembakan.

Menurut beliau, sebuah kereta sedan putih tanpa nombor pendaftaran dilihat melarikan diri dari lokasi kejadian.

Polis sempat mengejar kenderaan itu tetapi menghentikan operasi berkenaan kerana suspek memandu pada kelajuan tinggi sehingga boleh membahayakan orang awam.

Polis menutup kawasan kejadian dan menemukan beberapa kelongsong peluru, namun mengesahkan tiada mangsa cedera dan setakat ini belum ada suspek dikenal pasti.

Siasatan dijalankan dengan kerjasama Unit Antikeganasan Perkhidmatan Polis Toronto.

Dalam kenyataan ringkas, Konsulat AS merakamkan penghargaan kepada polis Toronto atas tindakan pantas mereka mengendalikan insiden berkenaan.

Sementara itu, polis turut menyiasat dua lagi kejadian tembakan yang berlaku pada hujung minggu lalu, masing-masing menyasarkan dua premis kedai roti milik rangkaian perniagaan yang dimiliki seorang anggota komuniti Yahudi.

“Saya amat jijik dengan insiden tembakan dan vandalisme yang berlaku di Toronto sejak beberapa hari lalu, termasuk di dua premis perniagaan milik komuniti Yahudi pada hujung minggu dan berhampiran Konsulat AS pagi ini.

“Dalam semua kes ini, siasatan aktif polis sedang dijalankan. Saya berharap semua pihak yang bertanggungjawab dapat dikesan, didakwa dan dihukum mengikut peruntukan undang-undang sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di platform X.

10 Mac lalu, dua lelaki melepaskan beberapa das tembakan ke arah konsulat itu dalam insiden yang disifatkan polis sebagai insiden keselamatan negara, sekali gus mendorong kawalan keselamatan dipertingkatkan di bangunan diplomatik AS dan Israel di bandar berkenaan ketika konflik di Asia Barat sedang memuncak.

Dua lelaki masing-masing berusia 18 dan 19 tahun ditahan pada Jun lalu sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung insiden tembakan itu.

Menurut polis, kedua-dua suspek dipercayai direkrut untuk melaksanakan tindakan ganas, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN