MIAMI: Didier Deschamps mengakui beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan hambar Perancis pada separuh masa pertama ketika tewas 4-6 kepada England dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2026.
Kekalahan itu menjadi hadiah perpisahan yang pahit buat Deschamps selepas menabur bakti selama 14 tahun bersama Les Bleus.
Dalam penampilan ke-185 dan terakhir sebagai ketua jurulatih Perancis, Deschamps menyaksikan pasukannya dibolosi empat kali pada babak pertama sebelum bangkit memberikan tentangan sengit selepas rehat.
Namun, kebangkitan itu hadir terlalu lewat apabila England berjaya mempertahankan kelebihan untuk meraih tempat ketiga dunia.
Pengendali berusia 57 tahun itu tidak berselindung apabila mengakui kesilapan taktikal dan kegagalan pasukannya mengawal permainan pada 45 minit pertama menjadi punca utama kekalahan menyakitkan tersebut.
“Ia tetap satu kekalahan, tetapi kami ketinggalan 0-4. Kami mempamerkan aksi separuh masa pertama yang tidak boleh diterima. Kami memberikan reaksi lebih baik pada babak kedua, namun ia sudah terlewat,” kata Deschamps.
Menurutnya, Perancis sebenarnya memiliki peluang untuk mengikat kedudukan 4-4 selepas menunjukkan karakter sebenar mereka pada separuh masa kedua, namun terlalu ghairah memburu jaringan menyebabkan mereka gagal menyempurnakan misi kebangkitan.
“Kami mempunyai dua peluang untuk menjadikan kedudukan 4-4, tetapi kami terlalu ghairah menyerang. Itulah yang kami lakukan, tetapi kami gagal melaksanakannya. Ia salah saya kerana saya tidak melakukan apa yang sepatutnya pada separuh masa pertama,” ujarnya.
Meskipun kecewa, Deschamps menganggap reaksi pemain-pemainnya selepas rehat berjaya memulihkan sedikit maruah Perancis yang hadir ke Amerika Utara dengan impian besar untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga selepas kejayaan pada 1998 dan 2018.
Beliau turut mengakui kekalahan kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir menjadi titik perubahan yang memusnahkan impian Les Bleus untuk mara ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut selepas edisi 2018 dan 2022.
“Kami gagal ketika menentang Sepanyol dan mereka tahu bagaimana untuk menewaskan kami. Ini adalah kumpulan pemain yang mempunyai kualiti bola sepak tinggi. Kami memiliki bakat mencukupi untuk meraih keputusan yang lebih baik.
“Dari sudut kemanusiaan pula, ia satu perjalanan yang indah. Lapan minggu bersama pasukan, ia amat bermakna,” katanya.
Deschamps, yang membawa Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 serta muncul naib juara pada 2022, mengakui kegagalan menamatkan kempen dengan kemenangan tetap meninggalkan kesan mendalam memandangkan jutaan penyokong di tanah air mengharapkan sesuatu yang istimewa daripada skuad kebangsaan.
Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memberikan penghormatan tinggi kepada Deschamps yang dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak negara tersebut selepas mengendalikan 185 perlawanan dan mencatat 120 kemenangan sepanjang tempoh perkhidmatannya.-AGENSI










