Kenaikan KDNK Johor positif, tetapi masih di belakang Selangor - Utusan Malaysia

Kenaikan KDNK Johor positif, tetapi masih di belakang Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor yang mencatat peningkatan positif dengan pertumbuhan lapan peratus tidak menggambarkan kekuatan sebenar ekonomi negeri itu.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada nilai keseluruhan ekonomi negeri, bukan sekadar melibatkan pertumbuhan tahunan.

Menurutnya, laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan nilai ekonomi Johor meningkat sekitar RM18 hingga RM19 bilion, manakala Selangor mencatat pertambahan kira-kira RM28 bilion.

“Ada yang cuba memutar belit mengatakan KDNK Johor naik paling tinggi iaitu lapan peratus. Mereka tidak melihat angka sebenar, nilai ekonomi Johor meningkat, namun pertambahannya sekitar RM18 hingga RM19 bilion sahaja.

“Sebaliknya Selangor meningkat daripada RM432 bilion kepada RM460 bilion, iaitu pertambahan kira-kira RM28 bilion, hampir dua kali ganda daripada peningkatan yang dicapai Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Manifesto Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel New York, di sini hari ini.

Amirudin yang juga Ahli Majlis Presiden PH berkata, Selangor dan Pulau Pinang yang diterajui PH menyumbang hampir 40 peratus kepada ekonomi negara, membuktikan keupayaan pentadbiran gabungan itu merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Johor perlu dirancang secara menyeluruh meliputi kawasan utara, selatan, timur dan tengah negeri supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, bukan hanya tertumpu di kawasan tertentu.

“Pelaksanaan projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Sistem Transit Rapid (RTS) Link serta usaha memperkasa semula Forest City merupakan antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Johor hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Tambah beliau, Johor berpotensi menjadi negeri yang menawarkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan tanpa bergantung kepada peluang pekerjaan di Singapura sekiranya pentadbirannya selari dengan kerajaan Persekutuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN