Kasut Emas Piala Dunia milik Kylian Mbappe

Kasut Emas Piala Dunia milik Kylian Mbappe

KAPTEN Perancis, Kylian Mbappe memenangi Kasut Emas Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Kylian Mbappe terus mengukuhkan statusnya sebagai bintang bola sepak dunia apabila merangkul anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2026, malah, turut mencipta sejarah baharu sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan itu.

Kapten Perancis tersebut menamatkan kempen di Amerika Utara dengan 10 gol untuk muncul penjaring terbanyak kejohanan, mengatasi kapten Argentina, Lionel Messi yang mengumpul lapan jaringan selepas gagal menambah koleksi golnya pada aksi final menentang Sepanyol, awal pagi tadi.

Pencapaian itu membolehkan Mbappe mempertahankan anugerah Kasut Emas yang turut dimenanginya pada Piala Dunia 2022 di Qatar ketika Perancis muncul naib juara selepas tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti.

Kejayaan kali ini hadir bersama satu lagi pencapaian luar biasa apabila penyerang Real Madrid itu memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia.

Dua gol yang dijaringkannya ketika Perancis tewas 6-4 kepada England dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, semalam, membolehkan Mbappe mengumpul keseluruhan 22 gol daripada tiga penampilan di pentas Piala Dunia.

Jumlah tersebut menyaksikannya mengatasi rekod terdahulu milik Messi yang mengumpul 21 gol sepanjang kariernya dalam kejohanan terbesar dunia itu.

Menariknya, pencapaian dikecapi Mbappe ketika dia baru berusia 27 tahun dan masih berada pada kemuncak prestasi, sekali gus berpotensi memperbaharui rekod tersebut pada edisi akan datang.

Sejak membuat penampilan sulung pada Piala Dunia 2018 di Russia, Mbappe sentiasa menjadi watak utama Perancis apabila membantu Les Bleus muncul juara dunia sebelum membawa mereka ke final pada 2022 dan menamatkan kempen 2026 di tempat keempat.

Konsistensi luar biasanya di pentas terbesar dunia menjadikan dia antara pemain paling berpengaruh dalam sejarah moden bola sepak, selain dilihat sebagai pewaris kepada era dominasi Messi dan Cristiano Ronaldo.

Dalam senarai penjaring terbanyak Piala Dunia 2026, pemain tengah England, Jude Bellingham dan penyerang Norway, Erling Haaland berkongsi kedudukan ketiga selepas masing-masing meledak tujuh gol sepanjang kejohanan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN