Jun Hao, Wei Chong-Wooi Yik ke pusingan kedua Terbuka China

Jun Hao, Wei Chong-Wooi Yik ke pusingan kedua Terbuka China

Leong Jun Hao. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, selepas membenam H. S Prannoy dari India pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, hari ini.

Anak jati Kuala Lumpur itu yang kini berada di ranking No. 27 dunia menewaskan pemain veteran ke-36 dunia tersebut 21-10, 21-14 dalam masa 32 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik.

Kejayaan tersebut kembali meletakkan Jun Hao kini terikat dengan rekod pertemuan 2-2 menentang Prannoy.

Untuk aksi peringkat 16 terbaik pula, Jun Hao bakal menghitung pertemuan dengan wakil tuan rumah, Weng Hong Yang yang menghuni ranking No. 18 dunia.

Berdasarkan rekod pertemuan, pemain berusia 27 tahun itu tidak memiliki kelebihan apabila hanya pernah mencatat satu kemenangan berbanding empat pertemuan lalu dengan Hong Yang.

Satu-satunya kemenangan dilakar Jun Hao ke atas Hong Yang ialah pada Malaysia Masters, empat tahun lalu dan selepas itu, dia tewas dalam tiga baki pertemuan.

Jun Hao yang mula menunjukkan perubahan prestasinya secara perlahan-lahan, kini berharap dapat mencipta kejutan ke atas Hong Yang bagi memburu tempat ke suku akhir.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki, pertembungan dua pasangan negara berkesudahan Man Wei Chong-Soh Wooi Yik mengalahkan Arif Junaidi-Kang Khai Xing 21-12, 21-15 dalam masa 29 minit.

Wei Chong-Wooi Yik yang kecewa selepas terkandas di pusingan pertama pada Terbuka Jepun, minggu lalu, berharap percubaan mereka kali ini untuk melangkah lebih jauh menemui kejayaan.

Dalam aksi pusingan kedua, beregu pecah ganding itu akan berdepan sama ada pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin atau Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dari Jepun.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang tewas kepada Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh dari Taiwan 23-21, 20-22, 14-21 dalam masa 58 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN