Jersi Pele cecah RM20 juta di lelongan

Jersi Pele cecah RM20 juta di lelongan

Jersi Brazil yang pernah dipakai legenda Pele dalam aksi final Piala Dunia 1958. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Jersi ikonik yang dipakai legenda bola sepak Brazil, Pele, ketika menjaringkan dua gol dalam aksi final Piala Dunia 1958 berjaya dijual pada harga AS$4.9 juta (RM20.7 juta) dalam satu lelongan, sekali gus menjadi memorabilia paling bernilai yang pernah dikaitkan dengan pemain itu.

Menurut rumah lelong Sotheby’s, jersi bernombor 10 yang dipakai Pele ketika berusia 17 tahun itu menerima 10 bidaan daripada lebih lima pembida sebelum dijual pada harga tersebut.

Pele membantu Brazil menewaskan tuan rumah, Sweden 5-2 dalam aksi final di Stockholm, sekali gus menghadiahkan kejuaraan Piala Dunia pertama buat negaranya.

Nilai jualan itu turut menjadikan jersi berkenaan sebagai jersi bola sepak kedua paling mahal pernah dijual menerusi lelongan.

Rekod tertinggi masih dipegang jersi Diego Maradona yang dipakai ketika menjaringkan gol kontroversi “Hand of God” pada suku akhir Piala Dunia 1986 menentang England yang dijual pada harga AS$9.3 juta (RM37 juta) pada 2022.

Pele meninggal dunia pada 2022 pada usia 82 tahun, kekal sebagai pemain termuda yang pernah menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia selepas meledak dua gol dalam aksi bersejarah itu.

Menurut Sotheby’s, jersi tersebut sebelum ini pernah dijual pada satu lelongan pada 2004 dengan harga 70,505 pound sterling (RM386,000), sekali gus menunjukkan peningkatan nilai yang amat ketara dalam tempoh dua dekad. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN