Haziq ubati kecewa tahun lalu, raih gelaran 10km SCORE Marathon

Haziq ubati kecewa tahun lalu, raih gelaran 10km SCORE Marathon

PELARI-Pelari memulakan acara 10 kilometer (km) SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality, semalam.-IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setahun selepas dikecewakan di garisan penamat, atlet muda Selangor, Muhd Haziq Hairol Izmi akhirnya menebus kekecewaan itu dengan penuh bergaya apabila muncul juara keseluruhan acara 10 kilometer (km) SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality, hari ini.

Pelari berusia 16 tahun itu, mencuri tumpuan apabila mengetepikan cabaran ramai pelari berpengalaman untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan masa terbaik peribadi 35 minit 31 saat (35:31s), sekali gus mengungguli perlumbaan yang berlangsung di Putrajaya.

Lebih membanggakan, catatan tersebut mengatasi pencapaiannya tahun lalu apabila menamatkan saingan sebagai naib juara keseluruhan dengan masa 36:20s, menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh hanya setahun.

Kejayaan itu turut menyaksikan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Bangi tersebut menewaskan Mohd Rahimi Radzi yang berada di tempat kedua dengan masa 35:39s, manakala Mohamad Nur Radzman Munib melengkapkan kedudukan podium menerusi catatan 36:00s.

Apa yang menjadikan kemenangan itu lebih bermakna adalah Haziq berjaya mengubati kekecewaan musim lalu apabila menewaskan Muhd Haris Iman Shuhaimi, pelari yang memotongnya pada saat-saat akhir sebelum merangkul kemenangan dalam edisi 2025.

“Saya sebenarnya tidak meletakkan sasaran untuk menjadi juara keseluruhan. Matlamat utama saya hanyalah untuk memenangi kategori sendiri.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka dapat menamatkan perlumbaan sebagai juara keseluruhan. Tahun lalu saya dipotong pada penghujung perlumbaan, tetapi kali ini saya berjaya membalasnya. Saya bersyukur semuanya berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

MENTERI Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (dua dari kanan) turut memeriahkan SCORE Marathon 2026 by AIA Vitality.

Kemenangan tersebut hadir tepat pada masanya buat Haziq yang kini sedang membuat persiapan terakhir menjelang penampilan sulungnya bersama kontinjen Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) akan datang.

Atlet muda itu bakal beraksi dalam acara 5,000 meter (m) lelaki dan menganggap kejayaan di SCORE Marathon sebagai suntikan motivasi terbaik sebelum mengharungi pentas terbesar dalam kariernya setakat ini.

“Ini adalah kejohanan terakhir saya sebelum SUKMA. Sasaran utama saya adalah untuk menimba pengalaman kerana ini penampilan pertama saya. Saya harap dapat memberikan yang terbaik dan pada masa sama membina keyakinan untuk memburu pingat pada masa depan,” ujarnya.

Menariknya, Haziq hanya mula memberi tumpuan serius kepada acara larian jarak jauh ketika berada berusia 14 tahun selepas gagal mencapai keputusan yang diharapkan pada peringkat daerah.

Kegagalan itu bagaimanapun menjadi titik kebangkitan buat dirinya apabila mula meningkatkan intensiti latihan di bawah bimbingan bapanya yang juga bekas pelari jarak jauh Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Muhd Haziq Hairol Izmi

Menurut Haziq, disiplin yang diterapkan oleh bapanya menjadi kunci utama kepada perkembangan positif yang dinikmatinya hari ini.

“Ayah sentiasa mengingatkan saya bahawa disiplin adalah perkara paling penting. Saya ke sekolah pada waktu siang dan menjalani latihan hampir setiap petang.

“Saya hanya memberi fokus kepada olahraga kerana ayah mahu saya memberikan komitmen sepenuhnya kepada satu sukan sahaja,” katanya.

Kini, Haziq memasang impian besar untuk mewakili Malaysia dalam acara 5,000m dan 10,000m pada masa depan, selain bercita-cita mengikut jejak langkah pelari jarak jauh negara, Haziq Hamzah dan Muhaizar Mohamad yang dianggap sebagai idolanya.

Sementara itu, kejayaan Haziq menjadi antara sorotan utama hari pertama SCORE Marathon 2026 yang berlangsung meriah dengan penyertaan kira-kira 24,000 peserta bagi acara 5km dan 10km.

Jumlah tersebut menjadi pemangkin kepada usaha penganjur untuk melakar sejarah apabila acara itu dijangka menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai acara larian terbesar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan berkata, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan keputusan menjadikan SCORE Marathon sebagai festival larian dua hari buat pertama kali adalah langkah tepat.

“Kami amat gembira dengan sambutan yang diterima. Penganjuran selama dua hari membolehkan kami menarik hampir 51,000 peserta pada tahun ini dengan kira-kira 24,000 peserta mengambil bahagian pada hari pertama sahaja.

“Suasana sepanjang pagi cukup luar biasa. Semangat yang ditunjukkan pelari, sukarelawan dan penyokong memberikan pengalaman yang sangat istimewa. Kami berharap hari kedua juga akan berlangsung dengan penuh meriah,” katanya.

Majlis pelepasan acara 10km turut disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang kemudian mencuri perhatian apabila menyertai larian simbolik sejauh 250 meter bersama robot humanoid dikenali sebagai ‘William’.

Kehadiran robot berkenaan yang diperkenalkan oleh rakan inovasi rasmi, Work E Robotics melambangkan komitmen penganjur dalam meneroka penggunaan teknologi baharu bagi mempertingkatkan pengalaman peserta dan pengurusan acara pada masa hadapan.

SCORE Marathon 2026 akan melabuhkan tirainya hari ini menerusi acara utama maraton penuh dan separuh maraton, selain dijangka mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan rasmi Malaysia Book of Records sebagai acara larian terbesar di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN