EAST RUTHERFORD: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan menilai semula pelaksanaan rehat hidrasi yang diperkenalkan sepanjang Piala Dunia 2026 sebelum memutuskan sama ada ia akan dikekalkan dalam kejohanan antarabangsa akan datang.
Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsene Wenger berkata, badan induk bola sepak dunia itu akan menjalankan analisis menyeluruh selepas kejohanan berakhir bagi menilai keberkesanan peraturan berkenaan yang mencetuskan pelbagai reaksi.
Menurut bekas pengurus Arsenal itu, setakat ini rehat hidrasi selama tiga minit di pertengahan setiap babak tidak dilihat memberi kesan terhadap keputusan perlawanan atau mengubah keseimbangan pertandingan.
“Bagi saya, ia tidak kelihatan mengubah keputusan pertandingan. Namun kami berada di sini untuk berkhidmat kepada peminat yang menonton bola sepak, jadi semua maklum balas akan diambil kira,” katanya.
Rehat hidrasi diwajibkan FIFA dalam setiap perlawanan Piala Dunia kali ini, namun pelaksanaannya mengundang kritikan kerana dianggap mengganggu rentak permainan selain memberi ruang tambahan kepada penyiar untuk menyiarkan iklan.
Pada awal kejohanan, segelintir penyokong turut melaungkan rasa tidak puas hati setiap kali perlawanan dihentikan bagi memberi laluan kepada pemain mendapatkan minuman.
Bagaimanapun, Wenger menegaskan keputusan memperkenalkan rehat hidrasi secara menyeluruh dibuat kerana keadaan cuaca yang tidak menentu di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
“Dalam beberapa perlawanan, ia benar-benar diperlukan. Oleh sebab kami tidak mahu mewujudkan perbezaan antara satu perlawanan dengan perlawanan lain, kami memutuskan untuk melaksanakannya dalam semua aksi.
“Dari sudut perubatan, ia diperlukan dalam banyak perlawanan. Kami akan melakukan analisis yang mendalam selepas kejohanan dan masih belum mencapai sebarang kesimpulan,” katanya.
Sepanjang kejohanan, beberapa pengendali pasukan menyokong langkah itu atas faktor keselamatan pemain ketika beraksi dalam cuaca panas melampau, namun ada juga yang mempersoalkan keperluannya di stadium berbumbung atau ketika cuaca lebih sejuk.-AGENSI










