PETALING JAYA: RHB Investment Bank Berhad menaikkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) bagi 2027 dan 2028, berikutan kebarangkalian fenomena El Nino yang tinggi, sekali gus dijangka menyokong harga komoditi itu dalam tempoh berkenaan.
Bank pelaburan itu berkata, pihaknya menaikkan unjuran harga purata MSM kepada RM4,500 setan bagi 2027 dan RM4,400 setan bagi 2028, berbanding RM4,300 setan sebelum ini.
Bagaimanapun, RHB mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2026 pada RM4,400 satu tan, dengan mengambil kira kekuatan sebenar fenomena El Nino masih belum dapat dipastikan.
“Kebanyakan model cuaca menjangkakan El Nino yang sangat kuat berlaku pada 2026, dengan kesan paling ketara bermula Oktober, sekali gus berpotensi menjejaskan pengeluaran sawit dan menyokong harga MSM pada tahun berikutnya.
“Walaupun kenaikan andaian harga adalah sederhana, kami memilih pendekatan yang lebih konservatif sementara menunggu pengesahan mengenai kekuatan sebenar El Nino,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan itu berkata, purata harga MSM berada pada RM4,366 satu tan setakat tahun ini, manakala harga semasa sekitar RM4,600 hingga RM4,700 satu tan.
Selain prospek harga yang lebih baik, RHB berkata, semakan tahunan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menunjukkan profil kemampanan sektor perladangan terus meningkat.
“Purata skor ESG sektor meningkat kepada 2.8 berbanding 2.7 pada 2025, didorong peningkatan skor komponen alam sekitar (E) susulan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG), penambahbaikan kebolehkesanan rantaian bekalan serta pematuhan yang lebih baik terhadap piawaian pensijilan kemampanan.
“Intensiti pelepasan GHG menurun 3.8 peratus tahun ke tahun dengan 11 daripada 16 syarikat di bawah liputannya merekodkan pengurangan pelepasan.
“Bagaimanapun, skor bagi komponen sosial (S) dan tadbir urus (G) kekal masing-masing pada 2.5 dan 2.8, meskipun terdapat peningkatan dari segi kepelbagaian gender dan kebebasan lembaga pengarah di beberapa syarikat,” ujarnya.
Menurutnya, penilaian saham sektor perladangan masih menarik dan belum mencerminkan sepenuhnya prospek harga MSM yang lebih tinggi memandangkan kebanyakan saham di bawah liputannya masih dinilai berdasarkan andaian harga MSM di bawah RM4,400 satu tan.
Sehubungan itu, bank pelaburan mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perladangan, dengan Johor Plantations, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation, Hap Seng Plantations, SD Guthrie, Triputra Agro Persada dan First Resources kekal sebagai pilihan utamanya. –UTUSAN










