Deschamps puji ketajaman Mbappe

Deschamps puji ketajaman Mbappe

Kylian Mbappe
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOXBOROUGH: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menghamburkan pujian kepada Kylian Mbappe selepas penyerang itu membantu Les Bleus mara ke separuh akhir Piala Dunia dengan kemenangan 2-0 ke atas Maghribi, semalam.

Mbappe membuka tirai jaringan pada minit ke-60 di Stadium Gillette, Boston selepas sebelum itu gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Ousmane Dembele kemudian melengkapkan kemenangan Perancis untuk memastikan mereka melangkah ke kelompok empat terbaik buat kali ketiga berturut-turut.

“Jika melibatkan Kylian, tiada masalah. Dia tidak pernah meragui dirinya sendiri walaupun sebelum menjaringkan gol dia sudah mempunyai satu lagi peluang,” kata Deschamps.

Jaringan tersebut menyaksikan Mbappe mencatat gol ke-20 dalam 20 penampilan Piala Dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pemain paling berpengaruh di pentas kejohanan berprestij itu.

Mbappe mencipta nama di peringkat global ketika membantu Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 di Rusia sebelum muncul penjaring terbanyak pada edisi 2022 di Qatar dengan lapan gol, termasuk hatrik pada aksi final menentang Argentina.

Dengan kejayaan Perancis mara ke separuh akhir, Mbappe masih mempunyai peluang menambah koleksi jaringan dan memecahkan rekod peribadinya pada kejohanan kali ini.

Deschamps turut mengesahkan Mbappe dikeluarkan pada penghujung babak kedua selepas mengalami hentakan pada buku lali, dengan pemain itu dilihat meletakkan ais pada bahagian tersebut ketika berada di bangku simpanan.

“Saya sudah tentu sangat bangga kerana berjaya mara ke separuh akhir untuk kali ketiga berturut-turut,” katanya.

Menurutnya, pemain Perancis tidak pernah hilang keyakinan walaupun gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang pada babak pertama, termasuk sepakan penalti yang diselamatkan penjaga gol Maghribi.

“Ia mungkin kelihatan sesuatu yang logik dan biasa, tetapi anda tetap perlu berusaha untuk mencapainya.

“Saya mempunyai pemain yang hebat, jika tidak kami tidak akan berada di tahap ini. Namun, ia bukan mudah kerana selepas gagal menyempurnakan penalti dan beberapa peluang yang dicipta, kami perlu terus tenang,” katanya.

Perancis akan berdepan pemenang antara Sepanyol dan Belgium pada separuh akhir di Dallas, Selasa ini yang juga jatuh pada sambutan Hari Kebangsaan Perancis. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN