ATLANTA: Perjalanan Republik Demokratik (DR) Congo yang berakhir di pusingan 32 terbaik Piala Dunia tidak membuat ketua jurulatih mereka, Sebastien Desabre terlalu kecewa.
Sebaliknya, beliau percaya pasukannya pulang dengan bermaruah selepas mempamerkan persembahan membanggakan di pentas terbesar bola sepak dunia.
DR Congo hampir mencipta antara kejutan terbesar kejohanan apabila mendahului England selama lebih sejam hasil jaringan awal Brian Cipenga sebelum dua gol lewat kapten England, Harry Kane memusnahkan impian wakil Afrika itu untuk melakar sejarah.
Meskipun tewas 1-2 dan gagal melangkah ke pusingan 16 terbaik, Desabre tetap berbangga dengan apa yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang kejohanan, terutama ketika berdepan pasukan yang memiliki pengalaman dan ranking jauh lebih tinggi.
“Apabila mewakili pasukan kebangsaan, anda perlu meninggalkan imej yang baik dan saya percaya kami berjaya melakukannya.
“Kami lebih berasa bangga daripada kecewa. Sudah tentu kami kecewa kerana tersingkir, tetapi kami menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan, berdepan pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi dan tetap memperoleh keputusan yang baik,” kata pengendali dari Perancis itu.
Piala Dunia 2026 menyaksikan penampilan kedua DR Congo di pentas tertinggi bola sepak dunia selepas kali pertama beraksi pada 1974, ketika negara itu masih dikenali sebagai Zaire.
Desabre turut memberitahu pendekatan taktikal yang digunakan ketika menentang England adalah untuk memanfaatkan ruang di bahagian sayap sambil mengehadkan pengaruh pemain tengah lawan, Elliot Anderson yang dianggap nadi penting corak permainan The Three Lions.
Perancangan itu hampir membuahkan hasil apabila DR Congo berjaya mengikat dan memberi tekanan kepada England untuk tempoh yang panjang, malah hampir menggandakan kedudukan.
“Kami mahu menggunakan kelebaran padang dan memerlukan ruang. Pada masa sama, kami mahu menutup ruang di bahagian tengah serta menghalang peranan Elliott Anderson yang penting dalam corak permainan England.
“Kami berjaya memberi tekanan kepada England, tetapi mereka bertindak balas seperti sebuah pasukan besar. Mereka memiliki penyerang terbaik dunia yang akhirnya menyelamatkan mereka.
“Kami melakukan segala yang termampu dan hampir menang. Dalam satu sudut, pencapaian ini juga boleh dianggap sebagai satu kemenangan buat kami,” ujarnya.-AGENSI










