Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku- Garcia

Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku- Garcia

KETUA Jurulatih Belgium, Rudi Garcia ketika perlawanan menentang Senegal.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEATTLE: Belgium melakar rekod antara kebangkitan paling dramatik dalam sejarah Piala Dunia apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menewaskan Senegal 3-2 menerusi jaringan penalti lewat Youri Tielemans untuk mara ke pusingan 16 terbaik, hari ini.

Lebih manis buat Belgium, gol yang dijaringkan pemain tengah Aston Villa itu pada minit ke-125 menjadi jaringan kemenangan paling lewat pernah direkodkan dalam sejarah Piala Dunia, sekali gus memastikan The Red Devils terus menghidupkan impian memburu gelaran dunia pertama mereka.

Senegal mendahului 2-0 hasil jaringan Habib Diarra dan Ismaila Sarr, namun Belgium enggan mengaku kalah sebelum melancarkan kebangkitan luar biasa yang memukau ribuan penyokong di stadium.

Pengendali Belgium, Rudi Garcia mengekalkan kesebelasan utama yang membelasah New Zealand 5-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan dengan Charles De Ketelaere mengetuai serangan, manakala Romelu Lukaku hanya bermula di bangku simpanan.

“Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku selagi anda terus percaya. Ketika kami ketinggalan 0-2, saya melihat pemain-pemain saya masih mempunyai semangat dan keyakinan untuk bangkit. Mereka tidak panik, tidak berputus asa dan terus berjuang hingga ke minit terakhir.

“Inilah karakter sebenar pasukan Belgium. Kami menunjukkan keberanian, mentaliti yang kuat dan keinginan luar biasa untuk terus hidup dalam kejohanan ini. Saya sangat bangga dengan cara pemain bertindak balas apabila berada dalam situasi yang sukar.

“Kami tahu Senegal adalah lawan yang sangat berkualiti dan mereka hampir menewaskan kami. Namun pemain-pemain membuktikan bahawa selagi wisel penamat belum dibunyikan, segala-galanya masih boleh berlaku. Kemenangan seperti ini mampu memberikan keyakinan yang besar kepada pasukan untuk menghadapi cabaran seterusnya,” kata Garcia.

Ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw mengakui kekalahan ini sangat menyakitkan tetapi tetap berbangga dengan semangat juang ditunjukkan anak buahnya dalam kempen Piala Dunia kali ini.

“Kami tersingkir dan ia sangat menyakitkan. Saya perlu mengucapkan tahniah kepada pemain kerana mereka memberikan segala-galanya, tetapi malangnya kami gagal mempertahankan kelebihan dua gol,” katanya.

Belgium kini akan menanti pemenang pertemuan antara Amerika Syarikat dan Bosnia and Herzegovina dalam perebutan tempat ke suku akhir.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN