AS tewaskan Bosnia 2-0 dengan 10 pemain

AS tewaskan Bosnia 2-0 dengan 10 pemain

PEMAIN Amerika Syarikat, Malik Tillman (No.17) meraikan jaringan kedua bersama rakan sepasukannya pada aksi pusingan ke-32 Piala Dunia menentang Bosnia & Herzegovina di Stadium San Francisco Bay Area, sebentar tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANTA CLARA: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 dalam aksi pusingan 32 terbaik yang berlangsung di Stadium San Francisco Bay Area, sebentar tadi.

Skuad tuan rumah mempamerkan aksi bertenaga di hadapan penyokong sendiri untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan, meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir setengah jam selepas penyerang utama mereka, Folarin Balogun dilayangkan kad merah.

Kemenangan itu menyaksikan AS menempah pertemuan menarik menentang Belgium di pusingan 16 terbaik dalam usaha meneruskan impian melangkah lebih jauh di pentas dunia.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan berhati-hati, namun AS dilihat lebih banyak menguasai permainan menerusi gerakan pantas yang diketuai Christian Pulisic dan Malik Tillman.

Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Balogun meletakkan tuan rumah di hadapan tepat sebelum tamat babak pertama.

Balogun bijak memanfaatkan ruang di dalam kotak penalti sebelum melepaskan penyudah kemas untuk menewaskan penjaga gol Bosnia dan Herzegovina, Nikola Vasilj pada minit ke-45.

Selepas rehat, AS terus mengawal permainan sebelum berdepan detik malang apabila Balogun diperintahkan keluar padang pada minit ke-64 selepas didapati memijak kaki pemain lawan dalam satu insiden yang memaksa pengadil melayangkan kad merah.

Kelebihan seorang pemain sepatutnya memberi ruang kepada Bosnia dan Herzegovina untuk bangkit, namun pasukan Eropah itu gagal memanfaatkan situasi berkenaan apabila sering buntu menembusi benteng pertahanan AS yang beraksi penuh disiplin.

Sebaliknya, AS yang beraksi dengan 10 pemain berjaya menambah jaringan menerusi Malik Tillman pada minit ke-84.

Pemain tengah menyerang itu menyempurnakan serangan balas pantas dengan rembatan kencang menggegar gawang lawan sekali gus mengesahkan kemenangan tuan rumah.

Keputusan tersebut memastikan AS melangkah ke pusingan 16 terbaik dengan penuh keyakinan dan kini, cabaran lebih besar menanti AS apabila mereka bakal berdepan Belgium dalam perebutan tiket ke suku akhir Piala Dunia 2026.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN