ARAS juara SAR, SEMASHUR ungguli SSR Premier Grand Final 2026

ARAS juara SAR, SEMASHUR ungguli SSR Premier Grand Final 2026

AKADEMI Ragbi Selangor meraikan kejayaan menjulang trofi Super Academy Rugby buat kali pertama selepas menewaskan SMK King Edward VII 29-19 di Stadium Merdeka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Stadium Merdeka menjadi pentas bersejarah apabila lebih 12,000 penyokong membanjiri venue ikonik negara itu untuk menyaksikan kemuncak Super Schools Rugby (SSR) Grand Finals 2026.

Kejohanan yang menutup tirai musim ke-11, mengukuhkan status sebagai platform pembangunan ragbi sekolah paling berprestij di negara ini.

Dalam aksi final Super Academy Rugby (SAR), Akademi Ragbi Selangor (ARAS) mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan SMK King Edward VII (KEVII) 29-19 untuk menjulang kejuaraan buat kali pertama.

ARAS mempamerkan aksi bertenaga sejak awal permainan dan berjaya mengawal rentak perlawanan, namun KEVII tetap memberikan tentangan sengit sehingga minit-minit terakhir untuk memastikan final berlangsung dalam suasana mendebarkan.

Kejayaan itu menyaksikan ARAS muncul pasukan ketiga memenangi kejuaraan SAR sejak kategori tersebut diperkenalkan tiga tahun lalu, sekali gus menebus kekecewaan selepas gagal muncul juara dalam penampilan final terdahulu.

Ketua jurulatih ARAS, Mohd Faiz Ali menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil persiapan rapi sepanjang musim ini.

“Kami membuat persiapan yang sangat rapi sepanjang musim ini termasuk menjalani pra-musim di Sri Lanka. Para pemain berjaya menyerap tekanan dengan baik dan akhirnya mencapai apa yang mereka impikan,” katanya.

SMS Hulu Selangor menjulang Piala Cabaran Tan Sri Wan Aziz buat kali ketiga, sekali gus mengukir nama sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah SSR.

Sementara itu, aksi kemuncak Super Schools Rugby Premier Grand Final menyaksikan SMS Hulu Selangor (SEMASHUR) mencipta sejarah baharu apabila menewaskan Victoria Institution (VI) 37-33 dalam antara final paling dramatik pernah disaksikan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas mata sepanjang perlawanan, namun SEMASHUR tampil lebih mantap pada babak kedua menerusi beberapa try penting dan sepakan tepat kapten pasukan, Muhammad Uwais Irwan untuk mengesahkan kemenangan.

Kejayaan itu menjadikan SEMASHUR pasukan pertama dalam sejarah memenangi tiga kejuaraan SSR sejak kejohanan diperkenalkan pada 2013, selain membalas kekalahan kepada VI pada final 2023.

Ketua jurulatih SEMASHUR, Md Baharudin Mahani menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil usaha berterusan seluruh warga sekolah sejak lebih dua dekad lalu.

“Kami amat berbangga menjadi pasukan pertama memenangi SSR sebanyak tiga kali. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama semua pihak termasuk guru-guru di sekolah.

“Saya memulakan pasukan ini pada tahun 2000 dan kami terus mempertahankannya sehingga hari ini. Saya percaya legasi ini tidak akan pernah padam,” katanya.

Kehadiran lebih 12,000 penyokong di Stadium Merdeka pula membuktikan ragbi sekolah kini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN