Anwar gesa pengundi Johor pulang tunai tanggungjawab pada 11 Julai - Utusan Malaysia

Anwar gesa pengundi Johor pulang tunai tanggungjawab pada 11 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pengundi Johor termasuk yang menetap di negeri lain dan di Singapura untuk pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 11 Julai depan.

Beliau berkata, setiap undi penting untuk memastikan hala tuju negeri sekaligus menentukan masa depan rakyat, sama ada baik atau sebaliknya.

“Saya harap kawan-kawan bagi kerjasama. Anak-anak yang ada di Singapura, baliklah mengundi. Ini masa depan kamu, anak-anak di Kuala Lumpur pun kena balik.

“Kalau kita tak mengundi, orang tak sokong kita, rugi kita. Ini bukan selalu, empat atau lima tahun sekali,” katanya ketika berucap pada Program Kita Genk Madani X Anak Muda Bukit Batu di Taman Tropika, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut berkata, kerajaan negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) sengaja membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lebih awal pada masa kerana yakin mampu menang.

“Johor tak sabar, baru empat tahun dah ajak pilihan raya. Mereka ingat lagi cepat bubar lagi banyak boleh menang. Belum tentu, lagi cepat, lagi banyak dia akan kalah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN