MANCHESTER: Pemain tengah England, Elliot Anderson dilaporkan bakal menyertai Manchester City dari Nottingham Forest selepas kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mencapai persetujuan perpindahan bernilai sekitar 116 juta pound (RM630 juta).
Perpindahan itu dijangka menjadi rekod kelab baharu City dan dianggap sebagai langkah besar dalam era baharu di bawah pengurusan Enzo Maresca, selepas Pep Guardiola meletakkan jawatan pada penghujung musim lalu.
Pemain berusia 23 tahun itu ketika ini bersama skuad England bagi mengharungi kempen Piala Dunia 2026 telah pun menjalani pemeriksaan perubatan di Kansas City, lokasi kem pasukan kebangsaan tersebut.
Menurut kenyataan Manchester City, urusan rasmi perpindahan hanya akan dimuktamadkan selepas Anderson selesai tugasan bersama England dalam kejohanan berkenaan.
“Manchester City dan Nottingham Forest telah mencapai persetujuan untuk perpindahan Elliot Anderson. Semua urusan rasmi akan diselesaikan selepas beliau kembali ke England,” kata kelab itu.
Dalam pada itu, City turut mendoakan kejayaan England dalam kempen Piala Dunia mereka dan menzahirkan keterujaan untuk menyambut ketibaan pemain berkenaan di Manchester.
Sebelum ini, terdapat laporan yang menyatakan yuran perpindahan Anderson boleh mencecah 130 juta pound (RM706 juta), namun angka tersebut kini dikatakan lebih rendah daripada rekod perpindahan terdahulu yang dibayar Liverpool kepada Newcastle untuk Alexander Isak sebanyak 125 juta pound (RM679 juta).
Anderson merupakan tonggak England pada edisi kali ini apabila dia memulakan kesemua empat perlawanan peringkat awal malah pengendali England, Thomas Tuchel turut memuji kualiti pemain itu yang disifatkan sebagai pakej lengkap. – AFP









