PETALING JAYA: Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus bagi 2026, berbanding 4.6 peratus pada Jun berikutan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini, dipacu oleh eksport dan pelaburan.
Ketua Kumpulan dan Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Allen Ng berkata, semakan itu dibuat susulan kekuatan berterusan dalam eksport berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan pelaburan, khususnya dalam pembangunan pusat data.
Katanya, pemulihan pengeluaran minyak dan gas (O&G) di Malaysia turut menjadi antara faktor yang menyokong peningkatan unjuran pertumbuhan ekonomi negara.
“Kami menjangkakan pertumbuhan akan menyederhana sedikit pada separuh kedua tahun ini berikutan kelemahan dalam sektor pembuatan yang berorientasikan pasaran domestik.
“Namun begitu, sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang berorientasikan eksport dijangka terus mencatat prestasi kukuh.
“Secara keseluruhannya, kami kekal positif terhadap prospek ekonomi Malaysia,” katanya dalam taklimat media secara maya mengenai Kemas Kini Suku Tahunan Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) bagi Julai 2026.
Mengulas mengenai prestasi ringgit yang muncul antara mata wang Asia berprestasi terbaik tahun ini, Allen berkata, mata wang tempatan itu dijangka terus disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh, aliran masuk pelaburan yang berterusan serta kedudukan luaran negara yang sihat.
Bagaimanapun, beliau berkata, prestasi ringgit masih terdedah kepada turun naik dalam jangka pendek berikutan ketidaktentuan dasar monetari Amerika Syarikat (AS), sentimen risiko global, konflik geopolitik di Asia Barat serta perkembangan dasar tarif AS.
“Faktor-faktor luaran itu akan terus mempengaruhi pergerakan ringgit, namun asas ekonomi Malaysia yang kukuh dijangka terus memberikan sokongan kepada mata wang tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, AMRO mengunjurkan ekonomi rantau ASEAN+3 berkembang 4.1 peratus pada 2026, meningkat berbanding unjuran 4.0 peratus pada Jun lalu, sebelum menyederhana sedikit kepada 4.0 peratus pada 2027.
“Inflasi keseluruhan pula diunjurkan pada 1.6 peratus pada 2026, lebih rendah berbanding unjuran sebelumnya sebanyak 1.8 peratus, mencerminkan andaian harga komoditi global yang lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi AMRO, Dong He berkata, semakan naik unjuran itu didorong oleh momentum berterusan sektor teknologi di rantau ini, khususnya permintaan kukuh terhadap semikonduktor dan produk berkaitan AI, di samping prospek harga komoditi global yang lebih menggalakkan.
“Impak konflik di Asia Barat juga didapati tidak seteruk yang dijangkakan pada peringkat awal, walaupun kos tenaga dan input yang masih tinggi terus menimbulkan risiko kepada inflasi dan aktiviti perindustrian,” jelasnya.
Tambahnya, perbelanjaan isi rumah yang kekal teguh, pelaburan yang berdaya tahan serta eksport semikonduktor dan elektronik yang kukuh dijangka terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi rantau ini. – UTUSAN










