BALIK PULAU : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini membalas pantun yang dimuat naik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di media sosial semalam yang dipercayai berkaitan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO berkata, beliau sebenarnya telah mengarang menulis pantun yang hendak dibalas kepada Anwar sejak malam tadi.
“Saya pun ada pantun juga. Nanti saya balas, saya buat pantun ini pukul 9.04 malam tadi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (Mexclub) kali ke-61 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid kemudian mendeklamasi pantun yang berbunyi:
“Mendaki ke Gunung Tahan,
Jatuh ke gaung, temui maut.
Bumbung tercabut, mampu ditahan.
Jika ribut, diterbang ke laut.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai maksud tersirat pantun itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan wujudnya usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, sebaliknya, berkata, pendirian UMNO dan BN kekal tidak berubah walaupun pelbagai spekulasi dimainkan ketika ini.
“Macam-macam telahan, macam-macam bacaan. Ia bergantung pada saya. Saya tak ada niat langsung. Tidak ada Langkah Bangkok ke, tidak ada Langkah Dubai, tidak ada,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, BN komited untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan dibuat ketika pembentukan kerajaan atas titah Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu, beliau berkata, tidak seharusnya timbul lagi keraguan mengenai kesetiaan BN terhadap kerajaan kerana fokus utama ketika ini ialah memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.
“Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya. Biarkan orang bercakap asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama untuk kestabilan politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini. Biarlah apa sahaja orang bercakap,” katanya. – UTUSAN










