5 SOALAN: Ramlee fokus atasi isu banjir kilat, kesesakan trafik dan pembangunan infra di Kempas - Utusan Malaysia

5 SOALAN: Ramlee fokus atasi isu banjir kilat, kesesakan trafik dan pembangunan infra di Kempas

RAMLEE Bohani (dua kanan) menyantuni masyarakat berketurunan India ketika berkempen bagi DUN Kempas pada PRN Johor ke-16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Kempas merupakan antara kawasan yang kerap dilanda banjir kilat dan kesesakan trafik, namun calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, DATUK RAMLEE BOHANI komited untuk mengatasi isu-isu yang dihadapi penduduk setempat.

Dakwaan DUN Kempas merupakan salah satu daripada kerusi selamat BN bukan bermakna calon gabungan itu mendapat tiket mudah untuk menewaskannya pencabar, khususnya daripada Pakatan Harapan (PH) yang juga mengintai untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri pada 11 Julai ini.

Wartawan Utusan Malaysia, KHAIRUL MOHD. ALI menemubual calon BN bagi mendapatkan aspirasi beliau dalam memastikan pembangunan setempat dan juga kesejahteraan penduduk kekal terjamin bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Soalan: Terus diberikan amanah untuk mempertahankan BN di DUN Kempas, bagaimana persiapan tuan untuk menggalas tanggungjawab tersebut?

Bagi saya, persiapan terbaik mempertahankan DUN Kempas bukan hanya bermula apabila pilihan raya diumumkan, tetapi telah dilaksanakan sejak hari pertama saya diberi amanah sebagai wakil rakyat. Fokus utama saya ialah memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dan setiap peruntukan yang diterima benar-benar memberi manfaat kepada penduduk.

Alhamdulillah, sepanjang penggal yang lalu, hampir RM30 juta telah disalurkan bagi pembangunan dan kebajikan di DUN Kempas. Daripada jumlah itu, RM21.2 juta diperuntukkan khusus untuk kerja baik pulih PPR Kempas demi menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk. Selain itu, pelbagai peruntukan turut disalurkan bagi menaik taraf sekolah, membaiki jalan, memperkukuhkan syiar Islam, membantu rumah ibadat masyarakat bukan Islam serta melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pembangunan komuniti.

Bagi saya, rekod perkhidmatan, keberadaan bersama rakyat dan penyelesaian terhadap isu setempat merupakan persiapan yang paling penting untuk terus mendapat kepercayaan masyarakat.

 

Soalan: Apakah isu atau aduan yang diterima daripada penduduk di Kempas dan apakah cadangan untuk mengatasinya?

Antara isu yang paling kerap dibangkitkan oleh penduduk di DUN Kempas ialah masalah banjir kilat khususnya di beberapa kawasan berisiko seperti laluan utama Taman Sri Putra.

Selain itu, aktiviti pembuangan sampah haram serta pembakaran terbuka, terutama di kawasan Banjaran Kempas, turut membimbangkan kerana bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah menyumbang kepada pencemaran bau toksik.

Selain itu, isu kesesakan lalu lintas juga sering menjadi rungutan penduduk, khususnya di laluan yang dikenali sebagai “Highway Tengkorak”. Sehubungan itu, kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mencari penyelesaian terbaik, termasuk cadangan memperlebarkan laluan tersebut untuk meningkatkan kelancaran trafik serta mengurangkan risiko kemalangan.

Dalam aspek pembangunan pula, saya melihat masih terdapat beberapa tanah milik kerajaan yang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Sebagai contoh, kawasan tanah di sekitar Hospital Permai mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai projek perumahan mampu milik. Langkah ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan kediaman rakyat, khususnya golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana, malah dapat mengoptimumkan penggunaan aset kerajaan demi manfaat masyarakat.

Pada pandangan saya, semua isu ini perlu ditangani secara menyeluruh dan bukan sekadar bersifat reaktif. Pihak berkuasa tempatan perlu melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan konsisten, khususnya melibatkan sistem perparitan dan saliran. Dalam masa yang sama, saya turut mencadangkan supaya diwujudkan satu pasukan khas (task force) yang melibatkan semua agensi berkaitan bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan, kerja pembersihan, pemantauan serta pelaksanaan projek penyelesaian jangka panjang. Melalui pendekatan yang lebih tersusun dan bersepadu ini, saya yakin isu-isu yang telah berlarutan sekian lama dapat diatasi dengan lebih berkesan demi kesejahteraan penduduk DUN Kempas.

 

Soalan: Ada pihak mengatakan tiada pembangunan infrastruktur baharu yang menarik di Kempas. Apakah perancangan tuan untuk merancakkan ekonomi setempat?

Saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut kurang tepat. Hari ini, Kempas sedang melalui proses pembangunan yang semakin baik. Antaranya ialah peranan Stesen Kempas Baru sebagai hab penting bagi Laluan Kereta Api Berkembar Elektrik (EDTP) di bawah KTMB yang menghubungkan Gemas dan Johor Bahru. Kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan jaringan pengangkutan, malah membuka peluang ekonomi serta menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan Kempas.

Selain itu, sektor perusahaan kecil dan industri makanan juga semakin berkembang. Kita dapat melihat kemunculan pelbagai lokasi tumpuan seperti Laman Santai dan beberapa kawasan perniagaan baharu yang menjadi pilihan penduduk serta pengunjung.

Ke hadapan, saya mahu Kempas terus berkembang sebagai kawasan yang seimbang antara pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi, kemudahan awam dan kesejahteraan penduduk supaya manfaat pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

 

Soalan: Walaupun ada pihak mendakwa Kempas merupakan kerusi selamat untuk BN, apakah cabaran yang tuan jangkakan dalam PRN Johor kali ini?

Setiap pilihan raya mempunyai cabarannya yang tersendiri dan setiap undi perlu dihargai.

Pada hari ini, cabaran paling besar ialah penyebaran fitnah, maklumat yang tidak tepat serta pelbagai naratif negatif melalui media sosial yang boleh mempengaruhi persepsi masyarakat. Selain itu, terdapat juga pihak yang cuba memberikan gambaran yang kurang tepat terhadap usaha dan agenda pembangunan Maju Johor.

Oleh sebab itu, pendekatan terbaik ialah terus turun padang, bertemu rakyat, menjelaskan fakta sebenar serta membuktikan hasil kerja melalui rekod perkhidmatan, bukannya sekadar retorik politik.

 

Soalan: Bagaimana tuan mendekati pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum, usia dan latar belakang di Kempas?

Sejak dahulu lagi, pendekatan saya ialah berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Gerak kerja di DUN Kempas tidak pernah bermusim, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun.

Antara usaha yang dilaksanakan termasuk program Ziarah Kasih, bantuan kebajikan, bantuan persekolahan, pembinaan dewan terbuka di lima buah sekolah dalam DUN Kempas, serta pelbagai program pembangunan masyarakat. Bagi memperkukuhkan syiar Islam pula, lebih RM1.09 juta telah disalurkan untuk pelbagai inisiatif dan pembangunan institusi Islam, di samping bantuan kepada rumah-rumah ibadat masyarakat bukan Islam mengikut keperluan.

Prinsip saya mudah, apabila kita sentiasa hadir bersama rakyat ketika mereka memerlukan bantuan, hubungan yang terjalin akan menjadi lebih kukuh dan penuh kepercayaan.

Saya tawar pengalaman, jaringan kerjasama yang baik dengan kerajaan Negeri dan Persekutuan, serta keupayaan membawa pembangunan dan menyelesaikan isu rakyat secara berkesan. Saya percaya wakil rakyat bukan sekadar perlu hadir ketika musim pilihan raya, tetapi mesti sentiasa bersama masyarakat, mendengar suara mereka dan mencari penyelesaian terhadap setiap permasalahan yang dihadapi.

Jika diberikan mandat sekali lagi, saya akan meneruskan usaha membangunkan Kempas sebagai sebuah kawasan yang lebih maju, sejahtera dan inklusif, dengan memastikan setiap lapisan masyarakat terus menikmati manfaat pembangunan yang dibawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN