1,200 atlet dari 60 negara berentap di DCMF 2026 - Utusan Malaysia

1,200 atlet dari 60 negara berentap di DCMF 2026

SEBAHAGIAN peserta-peserta yang memeriahkan penganjuran Festival Multisukan Desaru Coast tahun lalu. - IHSAN PENGANJUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Festival Multisukan Desaru Coast (DCMF) terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara acara sukan lasak paling berprestij di rantau ini apabila memasuki tahun kelima penganjuran dengan penyertaan lebih besar dan bertaraf antarabangsa.

Festival yang diterajui IRONMAN itu bukan sahaja menjadi antara acara triatlon paling dinanti-nantikan di Malaysia, malah kini diiktiraf sebagai antara festival multisukan utama di Asia Tenggara yang berjaya menarik ribuan atlet dari seluruh dunia.

Kemuncak acara adalah perlumbaan IRONMAN 70.3 Desaru Coast yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini, selain turut diserikan dengan beberapa kategori lain termasuk 5150 Triathlon, Pecut Triatlon, IRONKIDS dan pelbagai aktiviti komuniti yang menyasarkan penyertaan seluruh keluarga.

Pecut Triatlon menawarkan cabaran 750 meter renang, 20 kilometer berbasikal dan lima kilometer larian, manakala kategori Olimpik 5150 merangkumi 1.5 kilometer renang, 40 kilometer berbasikal serta 10 kilometer larian.

DISIPLIN berenang adalah antara rutin yang perlu dilengkap oleh peserta. – IHSAN PENGANJUR

Bagi kategori utama IRONMAN 70.3 pula, peserta perlu menamatkan cabaran sejauh 1.9 kilometer renang, 90 kilometer berbasikal dan 21 kilometer larian, sekali gus menguji ketahanan fizikal serta mental mereka di tahap tertinggi.

Tahun ini, festival berkenaan dijangka menarik lebih 1,200 peserta dari 60 negara dengan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan peserta terdiri daripada atlet antarabangsa, sekali gus membuktikan daya tarikan Desaru Coast sebagai destinasi sukan dan pelancongan bertaraf dunia.

Pengarah Operasi Asia IRONMAN, CG Lim berkata, gabungan kemudahan resort bertaraf antarabangsa, keindahan pantai dan suasana tropika menjadikan Desaru Coast antara lokasi perlumbaan paling menarik di rantau ini.

“Desaru Coast ialah destinasi yang menarik di rantau ini kerana menggabungkan resort bertaraf dunia dengan pantai menakjubkan.

“Ia hujung minggu sempurna buat keluarga yang mahu menikmati percutian indah sambil menyaksikan acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

KEJOHANAN yang berlangsung di Desaru menjanjikan keindahan alam semulajadi yang tenang, cantik dan indah.-IHSAN PENGANJUR

Menambah prestij kejohanan tersebut, IRONMAN 70.3 Desaru Coast sekali lagi dipilih sebagai perlumbaan kelayakan rasmi ke Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat tahun depan.

Sebanyak 50 slot kelayakan ditawarkan kepada peserta terbaik, melibatkan 25 slot bagi kategori lelaki dan 25 slot bagi kategori wanita, menjadikan persaingan tahun ini dijangka lebih sengit berbanding edisi terdahulu.

Harapan Malaysia akan dipikul oleh atlet berpengalaman, Teh Kuok Yuen yang kembali beraksi di Desaru selepas kali terakhir menyertai acara itu ketika penganjuran sulung pada 2022.

Kuok Yuen bukan nama asing dalam dunia triatlon tempatan apabila pernah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan perlumbaan IRONMAN jarak penuh dalam tempoh bawah sembilan jam menerusi catatan 8 jam 56 minit 42 saat di Copenhagen, Denmark.

Malah, beliau juga merupakan atlet Malaysia terpantas dalam edisi pertama IRONMAN 70.3 Desaru Coast, sekali gus menjadikannya antara pencabar utama untuk mencipta impak sekali lagi di laman sendiri.

“Saya sentiasa menikmati perlumbaan di Desaru kerana lokasinya sangat sesuai untuk percutian hujung minggu. Saya sentiasa mahu datang ke sini untuk menguji kemampuan diri selepas menyertainya pada 2022,” ujarnya.

Selain cabaran tempatan, saingan turut dijangka bertambah sengit dengan kehadiran beberapa atlet elit antarabangsa termasuk Assad Attamimi dan Jed Radbone dari Australia serta atlet Singapura, Ling Er Choo.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One, Izrin Hashim berkata, pihak penganjur terus memperluaskan skop festival bagi menjadikannya lebih inklusif dan mesra keluarga.

“Tahun ini kami memperluaskan festival dengan lebih banyak aktiviti untuk keluarga, penonton dan komuniti tempatan. Matlamat kami adalah mencipta festival untuk semua orang,” katanya.

Dengan penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat, status sebagai perlumbaan kelayakan ke Kejohanan Dunia dan sokongan padu daripada komuniti sukan global, Festival Multisukan Desaru Coast terus mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi utama sukan lasak di Asia serta memperkukuhkan kedudukannya dalam kalendar triatlon dunia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN