Terengganu, Johor gegar final Piala Agong

Terengganu, Johor gegar final Piala Agong

PASUKAN Johor berjaya mara ke final tiga kali berturut-turut Piala Agong selepas berjaya membenam cabaran Kelantan pada aksi separuh akhir-IHSAN KRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terengganu dan Johor mengesahkan tiket ke pentas akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi Ke-42 selepas mencatat kemenangan mendebarkan dalam aksi separuh akhir, semalam.

Terengganu muncul pasukan pertama melangkah ke final apabila menundukkan juara bertahan, PDRM 22-20 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu.

Skuad Pantai Timur itu mempamerkan aksi penuh bertenaga apabila mendahului 17-14 pada separuh masa pertama sebelum berjaya mempertahankan kelebihan tipis berkenaan sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu sekali gus membuka peluang buat Terengganu memburu kejuaraan Piala Agong selepas berjaya menyingkirkan pasukan yang mempertahankan gelaran.

Sementara itu, Johor pula mencipta kebangkitan luar biasa apabila menewaskan Kelantan 32-29 dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Pasir Gudang.

Johor yang ketinggalan 12-20 pada separuh masa pertama bangkit garang pada babak kedua untuk membalikkan keadaan dan memastikan kemenangan memihak kepada mereka.

Kejayaan itu menyaksikan Johor mara ke final buat kali ketiga berturut-turut, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara kuasa besar ragbi negara.

Piala Agong edisi ke-42 yang membuka tirainya sejak 9 Mei lalu kini memasuki kemuncak apabila Terengganu dan Johor bakal berentap bagi menentukan juara musim ini.

Dalam pada itu, PDRM dan Kelantan akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang dijadual berlangsung pada 28 Jun ini di Stadium UiTM Shah Alam bermula pukul 2 petang.

Perlawanan akhir yang menemukan Terengganu dan Johor pula dijadual berlangsung pada hari sama di venue berkenaan bermula pukul 5.15 petang.

Terengganu kini hanya selangkah untuk merampas mahkota, namun Johor pastinya enggan melepaskan peluang menjulang Piala Agong buat kali pertama selepas tiga musim berturut-turut mara ke pentas akhir.– UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN